Hasrat Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket untuk menyaingi pendahulu Liga Amatur Terengganu (TAL) tidak kesampaian selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Separa Elit Akademi Terengganu (ATFC), kelmarin.

Dalan aksi di Kompleks Sukan Gong Badak itu, PBSMT terlebih dahulu mengasak dengan hantaran Muhammad Ridhwan Safien pada minit ke-12 gagal disambar Mohd Jamali Mohamad Noor.

Penjaga gol ATFC, Muhammad Zulkhairy Zaiddi, kemudian cemerlang menafikan sepakan percuma pemain tengah PBSMT, Muhammad Hafizan Talib (m-18).

Peluang terbaik ATFC dalam babak pertama hanya hadir pada minit ke-37 yang menyaksikan sepakan Mohamad Abdul Hakam Mad Juhairi sekadar tinggi melepasi pintu gol lawan.

Pada pertengahan separuh masa kedua, ATFC sekali lagi dihidangkan peluang keemasan, malangnya Muhammad Amirul Haffiz Yusof mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol lawan (m-70).

Meskipun selepas itu kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, tiada jaringan dapat dihasilkan dengan PBSMT tergelincir ke tangga keempat dengan 13 mata daripada lapan perlawanan.

Berbaki dua perlawanan, pendahulu TAL, Markless Kebilal, semakin selesa mengumpul 17 mata susulan kemenangan 3-2 ke atas Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Pemanis.

Mengekori rapat di kedudukan kedua dengan 15 mata ialah Island FC yang turut meraih kemenangan bergaya 3-0 mengatasi Delima Warriors.

Sementara itu, CND FC mengekalkan rentak kemenangan dengan menewaskan Gemuda FC 2-0 untuk berada di tangga ketiga dengan memungut 14 mata.

Satu lagi perlawanan TAL menemukan TFFC dan Perkasa Alam berkesudahan seri 0-0.