Liga Amatur Terengganu: PBSMT sekat hasrat Pikat FA ke final

Oleh Tengku Danish Bahri 19 November 2017 825
Liga Amatur Terengganu: PBSMT sekat hasrat Pikat FA ke final
Jaringan tunggal Muhammad Hafizan Talib membantu Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket menewaskan Pikat FA, sekali gus mara ke final Piala Pusingan Liga Amatur Terengganu (TAL).

Aksi malam tadi bermula dengan asakan awal Pikat FA pada minit kedua yang menyaksikan percubaan Mohd Shamil Ja’afar Sidek tidak menepati sasaran.

Lima minit berselang, giliran PBSMT menguji pertahanan lawan, namun sepakan Muhammad Ridhwan Safien di dalam kotak penalti sekadar tinggi melepasti pintu gol.

Mohd Shamil sekali lagi kecewa pada minit ke-26 selepas penjaga gol PBSMT, Muhammad Syahmi Shahiran, pantas menyelamatkan keadaan situasi satu lawan satu. 

Perlawanan semakin rancak dengan PBSMT hampir mendahului pada minit ke-39, malangnya Muhammad Fadzley Hakime gagal menyudahkan hantaran pendek Muhammad Ridhwan.

Dalam babak kedua, pemain tengah PBSMT, Muhammad Hafizan, muncul wira pasukannya dengan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan percuma pada minit ke-58.

Tiada tambahan jaringan selepas itu, yang membolehkan skuad bimbingan Mohd Aliff Hafifi itu membuat perhitungan dengan Real Chukai FC dalam aksi final, minggu depan.

 

Tentang Penulis

 Tengku Danish Bahri

Komen