Pasukan pilihan, Kebilal Markless, mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Pusingan Liga Amatur Terengganu (TAL) selepas mengatasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Pemanis, kelmarin.

Terikat 2-2 dalam aksi sengit 120 minit, juara Liga Super TAL itu terpaksa berhempas-pulas sebelum menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Menurut pengurus pasukan itu, Mohd Salleh Isa, saingan sengit diberikan UMT sememangnya sudah dijangka kerana pernah berdepan pasukan itu dalam saingan liga sebelum ini.

Salleh turut mengakui moral barisan pemainnya sedikit terjejas sebaik sahaja pasukan lawan bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan, termasuk dalam masa tambahan.

“Diharapkan kami dapat memperbaiki kelonggaran yang ada serta beraksi dengan rentak sebenar menjelang saingan separuh akhir nanti,” ujarnya.

Dalam aksi suku akhir berasingan, Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket juga mara ke separuh akhir dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Besut FA.

Pengendali pasukan PBSMT, Aliff Hafifi, menyifatkan dua gol awal yang dijelmakan berjaya membantu mereka mempamerkan corak lebih tersusun dan seterusnya mengawal permainan.

Walaupun Besut FA memperoleh jaringan sagu hati dalam babak kedua, anak-anak buahnya menunjukkan kesungguhan untuk muncul pemenang.

“Masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki kerana saingan separuh akhir pasti lebih sengit dan kami akan beraksi lebih baik lagi,” kata Aliff.

Sementara itu, tidak ketinggalan menempatkan diri dalam empat pasukan terbaik ialah Pikat FA yang menang besar 4-1 mengalahkan Island FC.

Satu lagi tiket separuh akhir masih terbuka selepas perlawanan menemukan CND FC dan Real Chukai FC dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada Real Chukai FC terpaksa ditangguh akibat cuaca buruk.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)