Liga Amatur Terengganu: Island FC berputih mata

Oleh Tengku Danish Bahri 2 Oktober 2017 409
Liga Amatur Terengganu: Island FC berputih mata
Hasrat Island FC untuk melonjak ke tangga teratas Liga Amatur Terengganu (TAL) tidak kesampaian selepas tewas tipis 0-1 kepada CND FC di Kompleks Sukan Gong Badak.

Dalam aksi ketujuh itu kelmarin, Island FC menguasai babak pertama dengan asakan Mohamad Farhan Faiz Hashim (m-20) di dalam kotak penalti yang digagalkan penjaga gol lawan.

Peluang terbaik Island FC menyusul lagi empat minit kemudian, namun Muhammad Hazim Md Yassin gagal menyudahkan hantaran Muhamad Shafie Jamaludin dari sebelah kiri.

Nasib terus tidak menyebelahi mereka setelah penjaga gol CND FC, Mohammad Shahrul Azizi Mohd Zaki, cemerlang menepis sepakan penalti Muhamad Aiman Ahmad (m-35) serta tindakan susulan Mohamad Farhan.

CND FC akhirnya mengejutkan pasukan lawan dengan gol kemenangan hasil tandukan Muhammad Hakimi Ismail yang berpunca daripada sepakan penjuru Mohamad Kamarul Auff Ahmad pada minit ke-59.

Kedudukan 1-0 kekal berpihak kepada CND FC, menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat dengan 11 mata manakala Island FC turun satu anak tangga ke tempat ketiga dengan mengumpul 12 mata.

Kedudukan teratas TAL diterajui Kebilal Markless yang bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Gemuda FC, membolehkan pasukan pilihan itu memungut 14 mata.

Dua jaringan Wan Sarzely Naain Wan Abdullah pada minit ke-54 dan minit ke-56 memadam kelebihan satu gol Gemuda FC daripada Muhammad Mohamad Nazri (m-17).

Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket kekal di tangga kedua dengan 12 mata apabila dikejutkan kekalahan 0-1 kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Pemanis.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Delima Warriors menang besar 4-0 ke atas Perkasa Alam sementara TFFC mengatasi Separa Elit Akademi Terengganu 4-2.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen