KL City FC mengisi slot terakhir kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 selepas menewaskan wakil Perlis, KSMR Kangar FC, 2-1 dalam perlawanan play-off, semalam.

Skuad kendalian bekas pemain kebangsaan, Jerry Dinesh, itu berjaya memberi tekanan awal buat KSMR Kangar FC selepas Shah Azman Ekmal meledak gol pertama seawal minit ketujuh.

Peluang mereka makin cerah apabila sekali lagi berhasil menambah gol berselang enam minit kemudian menerusi kapten pasukan, Mohamad Fadzil Karnim.

KSMR Kangar FC sekadar berpuas hati dengan satu gol pada minit akhir babak pertama menerusi Muhammad Faiz Nazri.

Kelebihan satu gol berjaya dipertahankan KL City FC untuk kali pertama layak ke LFK.

"Saya bagaikan tak percaya kalau keputusan lebih daripada ini kerana mengharungi lima perlawanan dalam tempoh tiga hari yang menguji fizikal.

"Saya cukup berpuas hati dengan komitmen dan sumbangan pemain," katanya.

Menjelang kejohanan liga yang akan bermula 4 Februari depan, Dinesh tidak meletakkan sasaran tinggi kerana enggan anak buahnya tertekan dalam saingan yang pasti sengit.

"Pemain saya ramai yang terdiri daripada kalangan pemain amatur. Jadi, saya harap kami dapat kekal dalam liga untuk menimba pengalaman.

"Selagi kami tidak tergelincir, kami akan cuba memberikan aksi terbaik dan mendaki kedudukan liga.

"Sasaran saya adalah untuk cuba meraih pencapaian bersama pemain-pemain muda dan mungkin dalam dua atau tiga tahun akan datang, kami mampu mencabar kedudukan teratas."