Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, atau "Lewy" menggesa rakan sepasukannya agar membuktikan bahawa mereka tetap mampu meraih kejuaraan pada musim ini selepas Jupp Heynckes menggantikan pengurus yang dipecat, Carlo Ancelotti.

Bayern menjuarai Bundesliga dalam tahun pertama Ancelotti di Jerman, musim lalu, tetapi pengalaman yang dimiliki pengendali dari Itali itu tidak mampu mempengaruhi semua pemain di Allianz Arena.

Mereka melalui kempen pra-musim yang suram, sebelum banyak melepaskan mata berharga dalam saingan liga domestik dan Eropah, termasuk tewas 0-3 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) hingga membuatkan kontrak Ancelotti terpaksa ditamatkan.

Situasi itu membuatkan Heynckes, individu yang mengetuai musim gemilang Bayern ketika saingan musim 2012/13, terpaksa keluar daripada persaraannya bagi memenuhi keperluan pasukan dan keadaan itu membuatkan Lewandowski kekal optimis dengan peluang pasukannya dalam aksi Bundesliga.

"Kini, terdapat musim baru dan cabaran baru dengan pengendali baru.

"Kadang-kala bukan mudah untuk anda mengubah sesebuah kelab tetapi kami harus berusaha keras. Kami berada lima mata di belakang Borussia Dortmund tetapi masih banyak perlawanan yang belum diharungi.

"Namun dalam aksi UCL, selepas tewas di tangan PSG, kami mempunyai tanggungjawab besar untuk layak ke peringkat seterusnya. Siapa tahu? Mungkin kami akan memenangi UCL dan Bundesliga," katanya.

Lewandowski memenangi kejuaraan Bundesliga sebanyak dua kali ketika bersama Dortmund, sebelum menjulang trofi itu tiga kali sejak berpindah ke Bayern, termasuk DFB Pokal dan Piala Super Jerman, tetapi masih dahagakan kejayaan di peringkat Eropah.

"Sudah tentu apabila anda telah memenangi Bundesliga dan DFB Pokal, anda sudah mula memikirkan tentang trofi lain," katanya.