Robert Lewandowski tidak bercadang untuk mengakhiri kariernya dalam masa terdekat sambil menegaskan bahawa dia terus beraksi di tahap tertinggi selepas kontraknya ketika ini tamat.

Lewandowski mengumpul 55 gol musim lalu untuk Bayern Munich menyapu bersih gelaran Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara (UCL).

Bintang Poland berusia 32 tahun itu terikat dengan jaguh saingan Jerman itu sehingga 2023, tetapi menganggap masih mampu menjelmakan kecemerlangan sesudah kesepakatan berkenaan berakhir.

"Pertama sekali, kontrak saya ketika ini bukanlah yang terakhir. Saya masih berhasrat untuk bermain di tahap tertinggi selepas 2023," katanya kepada Onet dan Przeglad Sportowy.

"Saya tidak memikirkan apakah yang akan saya lakukan kemudian hari. Saya tidak bimbang tentang kesihatan dan kecergasan saya, tetapi saya berharap bahawa mental saya akan berada di tahap yang betul jadi sukar untuk anda menyingkirkan saya.

"Apabila saya bersara kelak, saya akan mempunyai banyak pilihan tetapi saya tidak mempunyai perancangan khusus. Ia bergantung kepada apa yang diberitahu oleh emosi saya."

Lewandowski mara ke final UCL bersama Borussia Dortmund pada 2013 tetapi belum pernah meraih kejayaan dalam pertandingan kelab elit Eropah itu sehinggalah detik dia membantu pasukan Hansi Flick tersebut menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 di Lisbon, Isnin lalu.




"Saya telah berusaha untuk mengejar kejayaan ini selama 20 tahun," katanya lagi.

"Kita sering hanya fokus kepada hasilnya sahaja tetapi sejak kecil lagi, saya mempunyai impian yang sangat saya percayai dan pada usia 32 tahun, salah satu impian terbesar saya sudah menjadi kenyataan.

"Apa yang akan kami menangi pada masa depan mungkin bukan sekadar 'tambahan' sebaliknya 'sesuatu yang lebih menarik'."

Lewandowski turut membuktikan sentuhan berbisanya ketika membelasah Barcelona 8-2 di peringkat suku akhir -- bagi penyerang itu ia keputusan mengejutkan yang dihasilkan gergasi Bavaria berkenaan.

"Kami tidak menjangkakan keputusan seperti itu," kata Lewandowski.

"Sebelum perlawanan, kami tahu kami akan menewaskan Barca. Ada juga yang mengatakan ia akan menjadi 5-1 tetapi 8-2 adalah cerita berbeza.

"Apatah lagi pada saat-saat akhir, Barca tahu bahawa mereka sudah tidak terdaya melakukan apa-apa lagi kerana kami sedang menokok lebih banyak gol lagi. Mereka yang masuk sebagai pemain simpanan juga laparkan jaringan."