BAYERN MUNICH 4 CHELSEA 1
(Bayern mara ke suku akhir dengan agregat 7-1)

Robert Lewandowski mengetepikan soal pencapaian individu apabila tetap fokus untuk memicu Bayern Munich melepasi halangan Barcelona di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas mengatasi Chelsea, awal pagi tadi.


Pemain antarabangsa Poland itu meningkatkan jumlah gol musimnya kepada 53 dalam semua pertandingan selepas dua jaringan selain mencipta dua bantuan gol untuk membantu kemenangan 4-1 di Allianz Arena yang menyaksikan Bayern melepasi pusingan 16 dengan agregat kemenangan 7-1.

Lewandowski kini mempunyai koleksi 13 gol dalam tujuh penampilan UCL musim ini, empat di belakang pemegang rekod, Cristiano Ronaldo, yang dilakar pada 2013-14.

Begitupun, penyerang prolifik berusia 31 tahun itu menegaskan bahawa dia lebih berminat untuk membantu pasukannya melewati suku akhir di Lisbon, Portugal, minggu depan selepas Barca menyingkirkan Napoli dengan agregat 4-2.

"Ini bukan sasaran bagi saya," katanya kepada Sky Germany ketika ditanya mengenai rekod milik Ronaldo itu.

"Kami mempunyai satu lagi perlawanan kalah mati yang akan datang dan kami perlu beraksi dengan sangat baik sebagai sebuah pasukan.



"Paling penting, beraksi baik dan mara ke pusingan seterusnya. Kami harus membuktikan kualiti sebagai sebuah pasukan bahawa kita lebih baik (daripada Barcelona) untuk mengintai tempat ke separuh akhir.

"Barcelona sering berbahaya dan menonjolkan persembahan yang hebat. Kami harus melakukannya sejak minit pertama lagi dan menunjukkan kualiti kami. Pasukan yang lebih baik akan beraksi dalam pusingan seterusnya."

Lewandowski memainkan peranan dalam setiap gol tuan rumah dalam kemenangan bergaya ke atas The Blues selepas turut mencetak nama sebagai penjaring di samping Serge Gnabry dalam pertemuan pertama di Stamford Bridge, Februari lalu.

Pengurus juara Bundesliga itu, Hansi Flick, mahu memuji seluruh pasukannya dan bukan setakat penampilan Lewandowski, yang telah meledak lebih banyak gol sepanjang musim ini berbanding pemain lain dalam lima liga teratas Eropah.

"Dia menyumbat dua gol, jadi tidak perlu disebutkan lagi mengenai kemampuannya, kata pengurus Bayern itu.

"Inilah yang menjadikan kami menonjol sebagai sebuah pasukan.

"Saya cukup berpuas hati dengan semua pemain sepanjang 90 minit permainan. Kami mahu memenangi perlawanan dan tidak perlu menunggu lama.

"Chelsea mempunyai pasukan yang menarik dan kepantasan yang luar biasa. Kami akan membuat silap jika kami membiarkan mereka menyerlah tetapi 30 minit pertama daripada kami sangat bagus."

Satu-satunya berita tidak enak buat juara lima gelaran UCL itu ialah kecederaan lutut Jerome Boateng dalam babak kedua, tetapi Flick berharap pertahanan tengah itu sempat cergas untuk pertemuan getir bertemu Barca minggu depan.

"Saya rasa situasi Jerome tidak begitu buruk," katanya.

"Itulah maklumat yang saya dapat daripada kakitangan perubatan. (Benjamin) Pavard juga berusaha keras untuk cergas.

"Kami akan bersiap sedia sempena perlawanan ini seperti yang aksi yang lain. Kami ingin terus mempamerkan kekuatan dan harus fokus 100 peratus, bukan hanya kepada Lionel Messi malah kepada setiap pemain lawan."