Prestasi penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, sudah tidak boleh meningkat lagi jadi dia hanya perlu berlatih untuk kekal cergas, menurut pengendali RB Leipzig, Julian Nagelsmann.

Lewandowski menyumbat 55 gol dalam 47 perlawanan ketika jaguh Jerman itu memenangi trofi Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu diharapkan terus memainkan peranan penting ketika gergasi Bavaria tersebut memburu gelaran liga yang kesembilan berturut-turut pada 2020-21.

Nagelsmann percaya penyerang dari Poland itu kini di tahap kemuncak kariernya, justeru dia hanya fokus untuk menjaga kecergasannya pada musim depan, jelas dia merupakan seorang pemain handalan yang sukar diperoleh di Leipzig.

"Dengan segala hormatnya, Robert Lewandowski tidak perlu berlatih lagi," katanya kepada Mitteldeutsche Zeitung.

"Dia mampu melakukan segalanya. Dia hanya perlu menjalani latihan untuk kekal segar dan bersedia untuk perlawanan hujung minggu.

"Tambahan pula, kami sukar bersaing untuk memancing pemain muda yang bertaraf antarabangsa. Ketika ini, (Borussia) Dortmund dan Bayern sedang mendahului kami. Oleh itu, kami tidak akan mampu mengejar kedua-dua pasukan ini jika segalanya berjalan lancar (buat mereka)."



Leipzig meraih tempat ketiga musim lalu dan telah melepaskan duo penyerang, Timo Werner dan Patrik Schick, sehubungan itu pengurus berusia 33 tahun itu berharap prestasi barisan muda berkenaan tidak akan merosot.

"Sekiranya kami berada di kedudukan kelima atau keenam, ia akan mengecewakan semua orang yang terlibat. Saya sedia memberi tekanan kepada diri saya sendiri," katanya.

"Anda harus mengambil kira jurang prestasi antara pemain muda. Pasti akan ada keciciran mata dan anda berdepan kesukaran untuk mencapai puncak."

Bayern akan membuka tirai musim baru bertandang ke Schalke, awal pagi Sabtu ini, sementara Leipzig bertemu Mainz pada Ahad.