Robert Lewandowski perlu pembedahan pangkal paha tetapi masih belum membuat keputusan waktu untuk menjalaninya, kata pengendali sementara Bayern Munich, Hansi Flick.

Akhbar Jerman, Kicker, semalam melaporkan Lewandowski bakal menjalani pembedahan ketika tempoh rehat antarabangsa tatkala Poland sudah mengesahkan tempat ke Euro 2020.

Penyerang berusia 31 tahun itu berada dalam prestasi terbaik bersama Bayern musim ini, menjaringkan 14 gol dalam 10 penampilan Bundesliga dan 20 jaringan hasil daripada 16 perlawanan dalam semua kejohanan.

Flick -- yang dilantik mengendalikan pasukan susulan pemecatan Niko Kovac selepas tewas 5-1 di tangan Eintracht Frankfurt -- mengesahkan Lewandowski bergelut dengan masalah kecederaan pangkal paha tetapi masih belum memilih waktu terbaik untuk menjalani pembedahan.

"Kami agak terkejut apabila terbaca mengenainya menerusi media tetapi ia benar. Dia memiliki masalah tetapi tidak berasa sakit," kata Flick dalam sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Olympiacos, awal pagi esok.

"Dia perlu menjalani pembedahan tetapi akan berbincang dengan staf perubatan kami. Dia akan berfikir untuk menyekat prestasi cemerlangnya ketika ini.

"Ia adalah keputusannya dan kami akan menghormatinya kerana dia merupakan pemain paling penting buat kami. Kami perlu menunggu dan lihat jika ia boleh dipertimbangkan dan dia bakal terlepas jumlah perlawanan yang sedikit."

Flick mengesahkan dia akan menurunkan Thomas Muller dan Javi Martinez dalam aksi berdepan Olympiacos dan menggunakan sesi latihan pertamanya semalam untuk memperbaiki pertahanan selepas pemain pulang daripada cuti sehari.

"Jaringan yang kami lepaskan kebelakangan ini bukan melambangkan ciri-ciri Bayern. Sebab itu kami fokus tentangnya," tambah Flick.

"Kami berlatih beberapa perkara untuk melakukan perubahan dan pasukan melakukan tugas dengan baik. Saya tidak mengubah segalanya kerana 90 minit tidak cukup untuk mengubah seluruh pasukan tetapi ia tentang disiplin dan mungkin mengubah satu atau dua perkara secara taktikal, memberi fokus kepada beberapa aspek secara berasingan.

"Saya mahu pasukan aktif dan melakukan usaha. Kami perlukan ketahanan dalam pertahanan, tidak kira ketika memegang bola atau tidak.

"Sejak tiba di sini, saya teruja dengan bakat dalam skuad. Mereka mempunyai potensi untuk beraksi cemerlang dan kami masih belum menyaksikannya lagi."