Robert Lewandowski telah menjadikan dirinya sebagai 'penyerang paling sempurna di dunia, menurut bekas rakan sepasukan Borussia Dortmund, Ilkay Gundogan.

Kedua-dua pemain itu beraksi bersama Dortmund pada 2011 sehingga 2014, sebelum Lewandowski berhijrah menyertai Bayern Munich.

Gundogan kemudian meninggalkan BVB pada 2016 ke Manchester City, di mana dia beraksi bersama penyerang Argentina, Sergio Aguero dan penyerang Brazil, Gabriel Jesus.

Tetapi dia tetap memerhati peningkatan Lewandowski dan melihat pemain kebangsaan Poland itu sukar untuk ditandingi dalam dunia bola sepak.

Pemain berusia 31 tahun itu telah menjaringkan 25 gol dalam 23 perlawanan bersama Bayern, dan 39 gol dalam kesemua kejohanan, sebelum pandemik koronavirus melanda Eropah.

Dia kini dalam proses pemulihan dan berusaha mendapatkan semula tahap kecergasan selepas patah tulang tibia ketika Bundesliga ditangguh.

"Ia adalah kegembiraan beraksi dengannya. Prestasinya sentiasa meningkat naik," kata Gundogan kepada DAZN.

"Seorang pemain yang berkemahiran yang tinggi, cara jaringannya sesuatu yang luar biasa.

"Bagi saya, Lewandowski adalah penyerang paling sempurna di dunia."

Lewandowski baru-baru ini mendedahkan Sergio Ramos dan Cristiano Ronaldo telah cuba memujuk menyertai Real Madrid selepas perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) tiga tahun lalu.