Robert Lewandowski dan Manuel Neuer bakal terlepas aksi Liga Juara-Juara berdepan Atletico Madrid awal pagi esok, perkara itu disahkan Hansi Flick.

Pemain kebangsaan Poland, Robert Lewandowski, yang meledak 15 gol dalam semua pertandingan musim ini, telah mengalami kecederaan yang tidak dikenal pasti, sementara penjaga gol berusia 34 tahun, Manuel Neuer, telah direhatkan dengan kelayakan Bayern ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) telah diraih sebelum ini.

Flick turut mengesahkan Leon Goretzka dan Corentin Tolisso akan kekal di Jerman bersama-sama Alphonso Davies dan Joshua Kimmich.

Penyandang juara Bayern telah memastikan slot ke pusingan 16 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Salzburg minggu lalu, melengkapkan kemenangan keempat daripada empat perlawanan Kumpulan A.

Atletico, bagaimanapun, perlu bekerja keras dalam usaha untuk menyertai skuad Bundesliga itu, dengan skuad pimpinan Diego Simeone itu sekadar meraih lima mata dan mendahului dua mata ke atas penghuni tangga ketiga, Lokomotiv Moscow.


Flick mengetahui pasukannya bakal berdepan tugas sukar untuk menyamai rekod tujuh kemenangan berturut-turut di tempat lawan dalam saingan UCL.

"Ia bakal menjadi cabaran bagi saya," katanya. "Mereka adalah pasukan kedua terbaik LaLiga dan mereka memiliki pertahanan yang terbaik dan pasukan menyerang kedua terbaik.

"Jurulatih mereka pula telah lama bersama pasukan dan sentiasa membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi. Saya sangat berbangga kerana dapat berdepan Atletico."

Dengan Neuer tidak bersama pasukan, Flick mendedahkan pemain berusia 24 tahun Alexander Nubel akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Nubel menyertai kelab secara percuma dari Schalke menjelang musim 2020-21 dan telah turun beraksi hanya sekali, berjaya tidak dibolosi ketika Bayern merakamkan kemenangan 3-0 dalam aksi DFB-pokal ke atas Duren Merzenich.

"Alexander bakal beraksi. Dia telah membuktikan kualitinya dalam latihan dan kini boleh menonjolkannya dalam saingan UCL."