Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti, akan membuat keputusan sama ada akan menurunkan penyerang, Robert Lewandowski, untuk beraksi berdepan Real Madrid bagi perlawanan pertama pusingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain kebangsaan Poland itu kini telah meledak 38 gol dalam 40 perlawanan selepas menjaringkan dua gol ketika berdepan bekas pasukannya, Borussia Dortmund, Sabtu lalu.

Tetapi pemain berusia 28 tahun itu digantikan pada minit ke-72 kerana mengalami kecederaan bahu dan baru kembali menjalani satu sesi latihan bersama pasukan.

Ancelotti menjelaskan Lewandowski tidak menghadapi sebarang masalah ketika menjalani sesi latihan tetapi beliau akan terus membuat penilaian sebelum perlawanan bermula.

"Robert Lewandowski berlatih hari ini selama 20 minit kerana dia mengalami kecederaan dalam perlawanan lepas," kata Ancelotti.

"Kami akan terus menilai perkembangannya.

"Jika dia tidak mengalami sebarang kesakitan, kami akan menurunkannya.

"Saya tidak tahu sama ada dia boleh beraksi ataupun tidak.

"Kami akan menunggu tetapi ia tidak akan mengubah pendekatan kami terhadap perlawanan ini, strategi dan keyakinan kami."