Robert Lewandowski mahu melihat Bayern Munich yang lebih kuat dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas memenangi gelaran Bundesliga awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Lewandowski dalam separuh masa pertama membantu Bayern menewaskan Werder Bremen 1-0 untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga kelapan berturt-turut awal pagi tadi, meskipun agak cemas selepas Alphonso Davies dilayangkan kad merah pada 11 minit terakhir.

Skuad kendalian Hansi Flick itu berpotensi untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas meraih kemenangan 3-0 di laman Chelsea dalam perlawanan pertama pusingan 16, di mana kejohanan itu dijangka akan diselesaikan pada Ogos depan.

Lewandowski, yang menjaringkan 46 gol musim ini, berharap Bayern dapat meneruskan kemaraan dalam liga kelab elit Eropah itu.

"Kami adalah juara Jerman, sudah pasti ia sedikit rumit tanpa keraian dengan penyokong. Sudah pasti semangatnya hilang," kata penyerang itu dalam laman web rasmi pasukannya.

"Kami masih berpuas hati. Ia bukanlah musim yang mudah, kami berjuang untuk gelaran ini bagi tempoh yang lama. Saya harap kami dapat meraikannya dengan penyokong di stadium tidak lama lagi.

"Werder bermain dengan agak bertahan tetapi baik dalam babak pertama.

"Dalam babak kedua, kami sepatutnya menjaringkan gol supaya ia menjadi lebih mudah.

"Kami membuktikan bahawa kami adalah pasukan terbaik di Jerman dan kami mahu menjadi lebih baik dalam Liga Juara-Juara," katanya.