Robert Lewandowski berhak meraih Ballon d'Or jika anugerah itu diberikan bagi tahun 2020, kata bekas penyerang Portugal, Nuno Gomes.

Lewandowski meledak 55 gol dalam semua pertandingan termasuk 15 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), untuk membantu Bayern meraih treble Bundesliga, DFB-Pokal dan UCL.

France Football telah membuat undian bagi anugerah Ballon d'Or tidak diberikan tahun ini ekoran musim yang terbantut berpunca daripada pandemik coronavirus.

Gomes percaya keputusan itu tidak adil bagi Lewandowski, yang menikmati kemenangan 1-0 ke atas Paris Saint-Germain dalam aksi final UCL.

"Saya berasakan dia berhak memenangi Ballon d'Or jika ia diberikan," kata Gomes.

"Dia seorang penyerang yang berbisa jika anda berdepannya. Anda perlu memerhatikan setiap gerak gerinya kerana jika anda memberikan ruang, dia akan menjaringkan gol.

"Salah seorang penyerang terbaik ketika ini, sudah pasti."



Kylian Mbappe, salah seorang lagi pencabar Ballon d'Or pada masa akan datang, terpaksa menelan kekecewaan dalam aksi final di Lisbon dan gagal melunaskan peluang untuk meletakan PSG di hadapan dalam separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Gomes tidak meragui pemain berusia 21 tahun itu mampu menjadi tiga pemain terbaik dunia.

"Mbappe memiliki ruang untuk memperbaiki kemampuannya," katanya "Saya mempercayainya, dia mampu menjadi antara barisan pemain terbaik dunia bagi tahun mendatang.

"Seorang pemain yang berpotensi, berbakat, pantas dan kadang kala mengubah keputusan perlawanan."