Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, kembali menyertai sesi latihan pasukan setelah mengalami kecederaan lutut sebelum ini sambil Alphonso Davies menyertai rakan sepasukan buat kali pertama.

Pemain Poland, Lewandowski, terlepas sesi latihan Selasa lalu akibat kecederaan lutut tetapi kembali bersama rakan sepasukan menjelang aksi Bundesliga di laman sendiri berdepan Fortuna Dusseldorf, Sabtu ini.

Kingsley Coman dan Arjen Robben turut serta dalam sesi latihan setelah pulih daripada masalah bahagian buku lali dan lutut sambil kehadiran Davies memberikan pilihan tambahan buat pengurus, Niko Kovac.

Davies menyertai Bayern daripada Vancouver Whitecaps dan pemain sayap itu akan dapat memperkuatkan pasukan selepas musim sejuk.

"Persepsi pertama saya terhadap pusat latihan sangat hebat," kata Davies.

"Sejak kecil, saya mengimpikan untuk bersama kelab besar. Kini saya melakukannya dan ia sukar dipercayai. Saya sangat gembira dan tidak sabar menunggu detik beraksi. Saya mahu membuktikan kemampuan setiap hari ketika latihan dan bekerja keras."

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic, menjelaskan Davies akan mula menyarung jersi Bayern dan meraih penampilan pertamanya Januari depan.

"Kami gembira tentangnya," ujar Salihamidzic.

"Saya pasti dia akan berkembang di sini dan membantu kami. Saya mengucapkan selamat maju jaya buatnya."

Dalam masa sama, Kovac juga kembali menerima kehadiran Thiago Alcantara selepas pemain tengah Sepanyol itu terpaksa berehat akibat masalah buku lali yang dialami bulan lalu.

"Sesi awal semalam adalah peringkat terbaik untuk Alcantara kembali," kata Kovac.