Robert Lewandowski menyarankan agar pemain muda Borussia Dortmund, Erling Haaland, supaya kekal beraksi dalam Bundesliga untuk tempoh yang lebih lama sebelum mengambil langkah seterusnya di kala pemain itu terus dikaitkan untuk menyertai Real Madrid.

Haaland, 19, menyertai Dortmund pada Januari lalu dan telah menjaringkan 12 gol daripada 11 perlawwnan kompetitif pertamanya selepas menjaringkan 28 gol dalam separuh musim pertama di Salzburg.

Pemain kebangsaan Norway itu segera menjadi pemain paling diinginkan dalam dunia bola sepak dan walaupun Dortmund berjaya mendapatkan pemain itu awal tahun ini, satu lagi perpindah dalam tahun ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Di sebalik Haaland menegaskan bahawa dia masih kekal fokus walaupun kerap diselubungi spekulasi mengenai minat Madrid, laporan berkenaan semakin bertiup kencang dan skuad Los Blancos itu dikatakan sedang berusaha keras untuk membawa masuk seorang lagi pemain hebat selepas mendapatkan Loka Jovic.

Namun, Lewandowski, pemain Bayern Munich yang menjadi seteru Bundesliga buat Haaland dan Dortmund, menggesa pemain muda itu untuk kekal lebih lama di Jerman sebelum memikirkan mengenai perpindahannya.

"Dia memiliki potensi yang besar tetapi dia masih ada masa," kata Lewandowski, yang menyertai Dormund sebagai kelab pertamanya di Jerman, kepada wartawan.

"Saya tidak mahu memberikan tekanan kepadanya dengan kenyataan saya.

"Jika dia berusaha keras, dia akan menjadi pemain yang lebih baik dan mencapai tahap tertinggi.

"Akan tetapi, ia mungkin lebih baik untuk dia kekal lebih lama dalam Bundesliga sebelum mengambil langkah berikutnya," katanya.