BAYERN 2 UNION BERLIN 1

Robert Lewandowski meraikan prestasi bersejarah dalam saingan Bundesliga ketika membantu Bayern Munich menewaskan Union Berlin 2-1 di Allianz Arena​, semalam.


Lewandowski menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan pertama Bundesliga.

Aksi cemerlang itu memahat namanya dalam saingan bola sepak Jerman apabila menyumbat gol pada minit ke-53, menggandakan jaringan pembukaan Benjamin Pavard -- sekali gus merekodkan gol yang ke-13 musim ini.

"Saya sentiasa cuba untuk melakukan yang terbaik, mahu menampilkan kemampuan saya," kata Lewandowski.

"Saya sangat gembira kerana kami menang, saya mahu membantu pasukan menerusi jaringan saya dan cara permainan saya.

"Saya turut gembira dengan rekod yang terhasil tetapi saya mahu memberikan fokus kepada bola sepak dan latihan. Saya mungkin akan memikirkan tentang rekod itu pada penghujung musim nanti."

Kemenangan di laman sendiri itu meletakkan Bayern kembali ke puncak liga sementara Borussia Monchengladbach dan Wolfsburg akan beraksi hari ini.

Bayern seri dan tewas dalam dua perlawanan liga sebelum jaringan Pavard dan Lewandowski menewaskan Union.

"Sekarang kami peroleh tempat yang kami mahu," kata pengurus Bayern, Niko Kovac. "Kami kini di tangga teratas Bundesliga.

"Lewandowski melakar rekod baru Bundesliga. Saya turut gembira kerana setiap pemain bebas daripada sebarang kecederaan.

Kovac berkata lagi, "Saya mengetahui kami mampu menampilkan permainan yang lebih berkualiti. Jika anda melihat perlawanan sebelum ini, ia sangat sengit dan sekadar mendahului lawan dengan satu jaringan.

"Sukar untuk bermain dengan tenang, jadi terdapat ruang yang harus diperbaiki Bayern selepas ini."