Robert Lewandowski dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Jerman, semalam, sebagai hadiah atas musim yang luar biasanya bersama Bayern Munich.

Penghargaan itu, yang dipilih oleh wartawan terkemuka dengan kerjasama majalah Kicker, memberikan kemenangan kepada Lewandowski dengan jurang besar.

Dia meraih 276 undian dan Bayern menguasai anugerah itu dengan Thomas Muller memperoleh 54 undian untuk menduduki tempat kedua, lima undi di hadapan Joshua Kimmich.

Jaguh Bundesliga itu menyapu bersih gelaran pada 2019-20 apabila menikmati kejayaan domestik, Bundesliga dan DFB-Pokal, sebelum meneruskan kejayaan berkenaan dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila menumbangkan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 dalam perlawanan penentuan.



Penggempur berusia 32 itu menyumbang 55 gol sepanjang musim lalu untuk muncul pemenang bukan kelahiran Jerman yang pertama sejak kali terakhir Kevin De Bruyne melakukannya pada 2015 di ketika bergelar pemain tengah Wolfsburg.

Pemain antarabangsa Poland itu memberitahu Kicker: "Saya sangat bangga dengannya. Lebih-lebih lagi kerana jangkaan terhadap saya semakin memuncak dan saya berusaha mencapainya setiap tahun.

"Tahapnya begitu tinggi sehingga jumlah 25 gol setiap musim dianggap normal dalam Bundesliga. Saya bekerja keras atas prestasi ini dan keseluruhan pasukan yang beraksi hebat, baik di peringkat domestik mahupun benua."