Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski, muncul pemenang Anugerah Pemain Terbaik Bundesliga musim ini.

Ia merupakan antara kempen terbaik buat penyerang yang digeruni di Eropah itu selepas turut menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam 11 perlawanan Bundesliga berturut-turut pada awal musim ini.

Lewandowski juga telah menjaringkan gol ke atas setiap pasukan dalam liga divisyen utama Jerman itu selepas meledakkan gol pertamanya ke atas Fortuna Duseldorf pada hari perlawanan ke-29.

Dengan merekodkan33 gol musim ini, Lewandowski dilihat sebagai pemain paling hampir untuk meraih gelaran penjaring terbanyak Bundesliga buat kali keempat daripada lima musim terakhir ini.

Pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho, berada di tangga kedua sambil pemain Bayer Leverkusen, Kai Havertz, berada di tangga ketiga dalam anugerah itu -- yang dipilih berdasarkan undian peminat dan pakar bola sepak di negara itu.

Timo Werner, Amine Harit, Erling Haaland dan Serge Gnabry turut berada dalam senarai itu, di mana Lewandowski mendominasi 50 peratus daripada jumlah undian keseluruhan.

Bayern melengkapkan kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut awal bulan ini dan masih berpeluang untuk menjulang kejuaraan 'treble' sekiranya memenangi DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah.