Robert Lewandowski dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi tahun 2020.

Penyerang Bayern Munich itu tercalon dalam senarai akhir tiga pemain di samping Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dalam Majlis Anugerah FIFA malam tadi.

Messi, pemenang edisi 2019, dan Ronaldo mendominasi anugerah itu dalam tiga daripada empat edisi tetapi mereka kali ini tewas kepada pemain itu, yang membantu Bayern memenangi kejuaraan 'treble' musim lalu.

Lewandowski mengetuai pasukan gergasi Bundesliga itu menjuarai liga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2019-20.

Di antara 20 Julai 2019 dan 7 Oktober 2020 -- tempoh yang diambil kira bagi anugerah berkenaan -- pemain kebangsaan Poland itu telah menjaringan 60 gol buat kelabnya dengan purata satu gol bagi setiap 76 minit.

Berdasarkan senarai itu, daripada 52 penampilannya buat Bayern, dia menjaringkan lebih 20 gol berbanding mana-mana pemain dalam lima liga utama Eropah.

Daripada aspek itu juga, Ronaldo pula berada di tangga kedua dengan terikat jumlah gol yang sama dengan Ciro Immobile (40) manakala Messi berada di belakang Romelu Lukaku (37), Timo Werner (35) dan Raheem Sterling (34).

Rekod 32 gol kapten Barcelona itu turut dicapai oleh Harry Kane dan Kylian Mbappe.

Pengiktirafan FIFA itu amat berharga buat Lewandoski tahun ini selepas pandemik koronavirus membatalkan Anugerah Ballon d'Or, ketika ia merupakan musim terbaik sepanjang kariernya.

Lewandowski sebelum ini tidak pernah memenangi sebarang gelaran individu selain Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tahun lalu, yang menjadikannya calon pilihan selain Messi dan Ronaldo.