Lewandowski alami ketagihan jaringan

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2019 348
Lewandowski alami ketagihan jaringan
RED STAR BELGRADE 0 BAYERN MUNICH 6

Robert Lewandowski berkata dia mengalami ketagihan jaringan selepas mengetuai Bayern Munich untuk melakar kemenangan 6-0 ke atas Red Star Belgrade dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL). 


Prestasi Lewandowski di tahap mengagumkan apabila meledak empat gol dalam tempoh 14 minit babak kedua di Stadium Rajko Mitic awal pagi tadi.

Usahanya itu mencetuskan ilham untuk kemenangan keempat berturut-turut buat pengurus sementara, Hans-Dieter Flick, dengan rekod 16 gol tanpa melepaskan sebarang jaringan -- rekod permulaan terbaik bagi mana-mana pengurus Bayern sebelum ini. 

Penyerang antarabangsa Poland itu juga muncul dengan rekod empat jaringan terpantas dalam sejarah kancah berkenaan bagi menyertai Lionel Messi sebagai satu-satunya pemain yang menyumbat empat gol dalam pertandingan tersebut dengan melakukannya lebih daripada sekali.

Pada usia 31 tahun, menjaringkan gol menjadi satu ketagihan buatnya. 

"Saya harus mengakui saya ketagih untuk menjaringkan gol," katannya di Twitter setelah merakamkan 27 gol dalam 20 penampilan musim ini.

Tambahnya kepada Sky Sport: "Yang paling penting bagi kami ialah bermain dengan baik, ketika bertahan serta menyerang. Kami menikmati permainan tanpa mengira siapakah yang diturunkan, kami mengikuti rancangan yang telah diaturkan.  

"Saya juga masih gembira sekiranya tidak menjaringkan gol dan kami menang."

Persembahan memukau Lewandowski dalam babak kedua itu dijelmakan selepas satu jaringan padunya dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) atas kesalahan bola terlebih dahulu terkena tangan Corentin Tolisso sebelum waktu rehat. 

Leon Goretzka memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-14 sementara Tolisso menyempurnakan kemenangan bergaya mereka, seminit sebelum masa pemberhentian.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen