RB LEIPZIG 3 AUGSBURG 1

Buat kali pertama sejak 2010, bukan Bayern Munich atau Borussia Dortmund yang menamatkan separuh pertama Bundesliga di kedudukan teratas apabila RB Leipzig menamatkan tahun ini selaku pendahulu liga menjelang waktu rehat musim sejuk.


Kemenangan 3-1 ke atas Augsburg di Arena Red Bull lewat malam tadi secara tidak rasmi memberikan gelaran 'herbstmeisterschaft' (saingan musim luruh) buat Leipzig dan mereka berkelebihan dua mata di kedudukan teratas selepas Borussia Monchengladbach terikat 2-2 dengan Hertha Berlin dalam satu lagi perlawanan.

Juara bertahan, Bayern, ketinggalan empat mata di tangga ketiga manakala Dortmund dan Schalke dibezakan tiga mata dengan Bayern.

Bayer Leverkusen mengepalai liga pada pertengahan musim 2009-10 yang kemudian dimenangi Bayern.

Sejak itu, Bayern menuju ke Hari Krismas selaku pendahulu untuk tujuh musim manakala Dortmund turut melakukannya dalam musim 2010-11 dan 2018-19.

Leipzig kendalian Julian Nagelsmann bangkit daripada ketinggalan untuk menjaringkan tiga gol dalam 22 minit terakhir bagi menewaskan Augsburg.

Penyerang, Timo Werner, berkata: "Ia seperti satu perlawanan untuk tempoh yang panjang.

"Kami mempunyai banyak peluang tetapi bola tidak mahu melepasi garisan.

"Tetapi kami dapat mengubah situasi.

"Ia menunjukkan betapa jauh kami sudah pergi sebagai satu pasukan," katanya.

Mengenai kedudukan Leipzig di puncak liga, Werner menambah: "Kedudukan kami dalam liga hanya gambaran dan ia tidak perlu dikira.

"Apapun, kami berbangga untuk ke musim sejuk sebagai pendahulu."