Pengurus RB Leipzig, Ralph Hasenhuttl, mendedahkan bahawa pasukannya masih menunggu laporan rasmi mengenai penyerang, Timo Werner.

Werner meminta pasukan perubatan memberikannya alat pelindung telinga sebelum meminta untuk dibawa keluar ketika menentang Besiktas di Vodafone Park atas sebab terlalu bising.

Dalam masa sama, wujud laporan mengatakan bahawa Werner mengalami kesukaran untuk bernafas, namun Hasenhuttl membuat keputusan untuk menunggu pengesahan rasmi.

"Setakat ini, masih belum ada sebarang pengesahan untuk keadaan Werner. Dia beraksi dalam banyak perlawanan sebelum ini dan itu juga mungkin menjadi faktor," katanya.

Dalam masa sama, dia juga memuji tindakan penyerang Jerman itu meminta untuk dikeluarkan.

"Ia lebih baik dan bagus berbanding jika dia cuba bertahan di dalam padang sehingga tamat permainan.

Kehilangan Werner menyebabkan RB Leipzig terpaksa menanggung kekalahan 0-2 di Istanbul.