Emil Forsberg, Marcel Sabitzer dan Dayot Upamecano tidak dapat memperkuatkan RB Leipzig untuk bertemu Besiktas dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Leipzig perlu mencatat keputusan lebih baik berbanding pasukan di tangga kedua Kumpulan H, Porto, sekiranya mereka memasang hajat untuk mara ke peringkat kalah mati ketika menyambut juara Turki itu tatkala Monaco sudahpun tersingkir daripada saingan.

Bagaimanapun, Ralph Hasenhuttl, mengesahkan dalam sidang media pra-perlawanan itu bahawa tiga tonggak utamanya; Forsberg (perut), Sabitzer (bahu) dan Upamecano (paha), semuanya akan terlepas perlawanan itu.

"Sayang sekali dia (Sabitzer) tidak dapat berada di sana, ini kerana Sabi adalah pemain yang sangat penting untuk kami," kata Hasenhuttl.

"Kami gembira kerana pemulihannya berjalan lancar tetapi belum pasti lagi sama ada dia akan kembali sebelum Krismas."

Leipzig tewas 2-0 kepada Besiktas -- yang dijamin sebagai pemenang kumpulan -- namun Hasenhuttl menyokong pasukannya untuk menunjukkan peningkatan dalam aksi timbal balik itu nanti.

"Besiktas adalah tanda aras dalam kumpulan ini," kata Hasenhuttl. Kami mahu menunjukkan yang kami boleh menang ke atas pencabar paling sukar.

"Kami bertekad untuk melakukan lebih baik lagi ketika menentang Besiktas daripada yang kami persembahkan di Istanbul. Kami ingin menunjukkan bahawa kami telah berkembang sebagai sebuah pasukan, itulah motivasi yang kami perlukan," tambahnya.