Leipzig hilang khidmat Poulsen

Oleh Shaiful Shamsudin 27 Mei 2020 212
Leipzig hilang khidmat Poulsen
RB Leipzig mengesahkan ketua pasukan, Yussuf Poulsen, mengalami masalah ligamen di pergelangan kaki kanannya yang akan menyisihkannya. 

Poulsen ditimpa kecederaan itu pada minit ke-20 minit dalam kemenangan 5-0 di Mainz kelmarin tetapi sempat meneruskan permainan dengan menyumbangkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan.

Pemain antarabangsa Denmark itu kemudian menjalani pemeriksaan sebelum disahkan perlu direhatkan. 

"Penyerang kami, Yussuf Poulsen, mengalami kecederaan ligamen di pergelangan kaki kanannya ketika menentang Mainz 05," demikian satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab itu.


 

"Dia akan diketepikan sehingga diberitahu lebih lanjut. Ia adalah hasil daripada ujian yang dijalankan Isnin lalu."

Pengurus, Julian Nagelsmann, juga kehilangan Ibrahima Konate menjelang pertembungan dengan Hertha Berlin di laman sendiri tengah malam ini, namun Emil Forsberg kembali pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi. 

Leipzig melonjak ke tangga ketiga selepas membelasah Mainz tetapi Nagelsmann menjangkakan pertandingan yang sukar ketika menghadapi Hertha, yang telah meraih dua kemenangan sejak pelantikan Bruno Labbadia bulan lalu. 

"Sukar untuk meramalkan apa-apa mengenai Hertha kerana ini baru perlawanan ketiga mereka di bawah kendalian Bruno Labbadia," katanya dalam sidang akhbar semalam.

"Mereka mungkin akan bertahan sebelum mengatur serangan balas. Vedad Ibisevic merupakan pemain yang sempurna untuk tugasan seperti itu.

"Saya gembira melihat Bruno dan semangatnya kembali ke Bundesliga. Dalam masa yang singkat, dia membantu menstabilkan pasukannya.

"Tetapi, kami ingin mengakhiri rentak kemenangan Hertha esok dan meneruskan prestasi kami di Mainz."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen