COLOGNE 2 RB LEIPZIG 4

Pengurus RB Leipzig, Julian Nagelsmann, menyifatkan pasukannya sememangnya layak muncul sebagai pemenang setelah bangkit untuk mengalahkan Cologne 4-2.


Leipzig kembali ke landasan kemenangan dalam Bundesliga setelah diikat Hertha Berlin minggu lalu sambil menyaksikan Patrik Schick, Christopher Nkunku, Timo Werner dan Dani Olmo menemui sasaran penyudah awal pagi tadi.



Jhon Cordoba terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan tetapi empat gol hasil daripada penjaring berbeza membantu Leipzig melonjak ke tangga ketiga sungguhpun Anthony Modeste sempat mengurangkan defisit jaringan.

"Ia adalah perlawanan yang aneh ekoran permainan yang turun naik. Kami sedikit terleka apabila membenarkan pihak lawan meledak gol," katanya selepas perlawanan apabila Leipzig dua mata dipisahkan dengan pasukan di tempat kedua, Borussia Dortmund.

"Kami tidak bertahan dengan sebaik mungkin. Secara keseluruhannya, saya rasa kami beraksi lebih baik. Sukar untuk meringkaskan permainan ini buat masa ini.

"Kemenangan adalah penting untuk kami memperbaiki kedudukan. Kebangkitan juga penting. Ia bukan mudah tetapi kami sememangnya berhak untuk menang."



Schick menyamakan kedudukan buat Leipzig pada minit ke-20 setelah Cordoba terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-13 dalam aksi di RheinEnergieStadion itu.

Secara tidak langsung, pemain antarabangsa Republik Czech itu, yang dipinjam daripada kelab Serie A, Roma, telah mencetak gol dalam dua perlawanan berturut-turut buat Leipzig.

Schick menambah: "Ini adalah satu lagi perlawanan yang sukar. Ia bukan satu permulaan yang kami mahukan.

"Selepas itu, kami meningkatkan permainan dan berusaha keras. Pada penghujung hari, kami benar-benar gembira dengan tiga mata ini."