Sabah bakal menjadi tumpuan penyokong Manchester United dan Liverpool apabila bekas-bekas pemain mereka berentap dalam aksi persahabatan 'The Battle Of The Reds' di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 20 November depan.

Antara nama-nama besar United yang akan beraksi ialah Teddy Sheringham, Ronny Johnsen, Mikael Silvestre dan juga Wes Brown manakala pasukan legenda Liverpool dijangka bakal menampilkan John Arne Riise, Danny Murphy, Emile Heskey, Peter Crouch dan David James.

Perlawanan persahabatan itu dianjurkan bersama oleh syarikat Firm Horizon Sdn Bhd dan Master Football Asia serta turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Pengarah Urusan Firm Horizon Sdn Bhd, Raymond Fang, berkata syarikat berkenaan telah beberapa kali mengadakan program hiburan seperti konsert di Sabah, namun program sukan bola sepak itu adalah kali pertama mereka anjurkan.

"Kami juga mahu membuktikan yang negeri Sabah juga sangat sesuai untuk menjadi venue program-program besar seperti 'Battle Of The Reds' ini dan saya harap orang ramai sama ada tua atau muda akan hadir beramai-ramai untuk memeriahkan aksi persahabatan itu nanti.

"Sebelum ini, ada orang kata hanya tiga bekas pemain setiap satu pasukan yang akan beraksi tetapi sebenarnya tidak kerana kami akan membawa 16 pemain untuk setiap pasukan dalam 'Battle Of The Reds'," katanya ketika berucap sempena pelancaran 'Battle Of The Reds', di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Dr Christina Liew, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, legenda United, Ronny Johnsen dan legenda Liverpool, John Arne Riise.

Terdahulu, Christina dalam ucapannya mengalu-alukan penganjuran program yang besar seperti 'Battle Of The Reds' itu kerana ia dijangka bakal melonjakkan lagi industri pelancongan negeri berkenaan.

"Sudah pasti, perlawanan persahabatan itu nanti bukan saja akan menarik minat penyokong United serta Liverpool di Sabah, malah dari Semenanjung, Brunei, Singapura serta negara-negara luar yang lain," katanya.

Tiket untuk perlawanan itu kini sudah mula dijual dan boleh dibeli menerusi aplikasi Shopee dengan harga bermula daripada RM150.