Legenda Real Madrid, Goyo Benito, telah meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas disahkan oleh kelab itu, semalam.

Benito hadir daripada skuad belia di Madrid dan meraih 420 penampilan bersama pasukan utama dalam tempoh 13 musim.

Pertahanan yang dikenali dengan misainya itu enam kali menjuarai saingan LaLiga dan meraih lima kejuaraan Piala Raja Sepanyol tatkala Los Blancos meraih trofi berganda bagi musim 1974-75 dan 1979-80.

Beliau melakukan penampilan pertama pada 1969 dan membintangi generasi Real yang digelar 'Yeye' selepas mendominasi saingan bola sepak Sepanyol ketika dekad itu.

Dia tewas dalam aksi final Piala Eropah 1981 di tangan Liverpool dan bersara selepas menjulang Piala Raja Sepanyol dalam musim berikutnya.

Beliau juga melakukan 22 penampilan untuk skuad kebangsaan Sepanyol, sambil dirinya serta Pirri merupakan dua pemain Real yang memenangi penghormatan Laureate.

"Pihak Real Madrid, presiden serta badan tertinggi mengucapkan takziah di atas peninggalan Benito, salah seorang legenda kelab kami," kata wakil Real Madrid.

"Real mengucapkan takziah buat isteri beliau, Paula, serta anak-anak, Patricia dan Ruben, termasuk semua ahli keluarga. Penghormatan ini juga datang daripada semua peminat Los Blancos di seluruh dunia.

"Real memberi sokongan sewaktu Benito berjuang dengan masalah kesihatan yang dialami lebih sedekad lalu.

"Keluarga Real Madrid hari ini menangisi seorang pertahanan yang dianggap antara terbaik dalam sejarah kelab."