Daniele De Rossi menjelaskan sukar untuk menerima pendekatan jurulatih Itali, Gian Piero Ventura, selepas mereka gagal layak ke Piala Dunia 2018.

Tonggak AS Roma itu menyatakan bahawa dia telah menanggalkan jersi Azzurri 'buat kali terakhir', dirakam oleh kamera mengenai kekecewaannya terhadap keputusan jurulatih itu tidak memasukkan penyerang Napoli, Lorenzo Insigne, meskipun Itali terdesak untuk memburu jaringan ketika berdepan Sweden, awal pagi tadi.

De Rossi dilaporkan berkata: "Mengapa saya harus dimasukkan? Kami tidak boleh seri di sini, kami perlu menang!".

Itali tersingkir selepas Sweden mara menerusi agregat 1-0 selepas pertemuan kedua di San Siro itu berakhir 0-0 yang menyaksikan kali terakhir mereka gagal melakukannya adalah pada 1958.

Bagaimanapun, De Rossi menjelaskan bahawa ia bukan serangan peribadi yang ditujukan ke arah Ventura.

"Kami mempunyai kecenderungan untuk memanaskan tiga pemain pada satu-satu masa, maka selepas lima minit (babak kedua), kami akan membuat pertukaran dan tiga lagi pemain menyusul memanaskan badan," kata pemain tengah itu kepada Rai Sport.

"Saya baru saja berkata kami hampir menuju ke minit akhir permainan dan perlu menang, jadi hantar penyerang untuk memanaskan badan. Lalu saya menunjuk ke arah Insigne.

"Ia di luar bidang kuasa saya jika ia merupakan isu taktikal, saya minta maaf sekiranya saya menyinggung sesiapa, pada masa itu saya fikir mungkin lebih baik Insigne yang dimasukkan."

Mengenai masa depannya sendiri dan kegagalan Itali, dia menambah: "Kami akan bermula lagi, sama seperti yang kami lakukan selepas beberapa insiden yang sangat mengecewakan sebelum ini.

"Saya tidak percaya kami berhak untuk tersingkir dalam corak permainan sepanjang 180 minit ini, Sweden memang berhak dipuji atas prestasi mereka tetapi perlawanan ini seimbang.

"Generasi masa depan sudah bersedia untuk mengambil alih dan kami mesti bermula lagi dengan mereka. Ia adalah peristiewa yang tidak masuk akal apabila dikaitkan dengan perlawanan bola sepak. Suasana sepi melanda bilik persalinan, namun tiada siapa yang meninggal dunia.

"Saya telah berkelana di sekitar Coverciano dan di seluruh dunia dengan jersi ini selama lebih satu dekad, jadi untuk menyarungnya buat kali terakhir adalah satu perasaan pelik."