Bayern Munich diberi amaran bahawa Leroy Sane tidak sesuai buat kelab itu apabila pasukan gergasi Bundesliga berkenaan terus dikaitkan dengan pemain sayap Jerman tersebut.

Bekas pemain Schalke itu akan memasuki tahun keempat dan terakhirnya di Manchester City.

Dia kelihatan sudah bersedia untuk berpindah ke Bayern tahun lalu sebelum mengalami kecederaan ligamen lutut dalam perlawanan Perisai Komuniti menentang Liverpool Ogos lalu.

Sebaik kembali cergas, Bayern kembali memburu pemain berusia 24 tahun itu.

Bekas pemain pertahanan Bayern, Willy Sagnol, bagaimanapun menggesa kelab lamanya itu agar memburu bintang Bayer Leverkusen yang baru berusia 20 tahun, Kai Havertz, sambil menganggap Sane tidak secocok dengan jaguh Bundesliga berkenaan.

"Dia sama sekali tidak sesuai dengan Bayern daripada segi perwatakan. Dia seorang pemain yang tidak tekal yang sering tersisih," katanya kepada stesen radio Perancis, RMC.

"Bagi saya, dia tidak sesuai buat kelab ini.



"Dia berdepan banyak masalah baik di Manchester City mahupun bersama pasukan kebangsaan. Malah, dia juga menelan belanja sebanyak €80 juta (RM386j). Saya lebih gembira dapat menjimatkan €20j (RM96.5j) dengan pembelian Havertz.

"Dengan khidmat Havertz, ia adalah satu jaminan kepada pengurus bahawa ia tidak akan mencetuskan masalah mengenai peranan Lewandowski. Thomas Muller tidak akan bertahan selamanya."

Bekas Presiden Bayern, Uli Hoeness, kelmarin berharap kelab itu dapat menandatangani Havertz dan juga Sane tetapi meragui kedudukan kewangan kelab berkenaan mampu merealisasikan impiannya.