LAZIO 1 TORINO 3

Lazio gagal memanfaatkan peluang untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas selepas tewas 3-1 di tangan Torino dalam Serie A di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.


Skuad Simone Inzaghi itu turun beraksi dengan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan, dengan mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Prestasi mereka kelihatan sangat baik pada separuh masa pertama tetapi ia merudum sejurus selepas Ciro Immobile dihalau keluar padang dan memberikan dorongan kepada Torino.

Tidak lama selepas dinafikan sepakan penalti walaupun hantaran lintangnya terkena tangan Iago Falque, percubaan Immobile terkena tiang, sebelum dilayangkan kad merah akibat menghantuk kepala Nicolas Burdisso apabila pengadil, Piero Giacomelli, membuat rujukan video.

Alex Berenguer kemudian menemui penjuru bawah gawang untuk meletakkan pelawat di hadapan tidak lama selepas waktu rehat.

Selepas itu, Tomas Rincon menggandakan gol selepas membuat larian solo yang baik pada minit ke-64.

Skuad tuan rumah merapatkan kedudukan hasil jaringan Luis Alberto tetapi Torino menambah derita mereka apabila Simone Edera melakukan rembatan dari jarak 20 meter untuk melakar kemenangan luar biasa buat skuad Sinisa Mihajlovic -- kemenangan liga pertama di Lazio sejak November 1993.