WALES 2 HUNGARY 0

Ryan Giggs menganggap kejayaan Wales menewaskan Hungary 2-0 di Cardiff awal pagi tadi sebagai antara saat terindah dalam hidupnya selepas pasukan itu mengesahkan tempat ke pusingan akhir Euro 2020.


Aaron Ramsey muncul wira skuad kendalian Giggs itu dengan menjaringkan satu gol dalam setiap babak untuk Wales mengesahkan tempat selaku pasukan kedua terbaik Kumpulan E di belakang Croatia.

Ia bermakna mereka berpeluang untuk menandingi pencapaian mara ke separuh akhir dalam edisi 2016.

Permulaan tidak menentu dalam kempen kelayakan itu menyaksikan Wales terpaksa memenangi dua perlawanan terakhir.

Kemenangan di Azerbaijan hujung minggu lalu menjadi pencetus semangat untuk mereka melunaskan misi wajib menang di hadapan penyokong sendiri awal pagi tadi.

"Ia tidak mungkin lebih baik daripada ini," kata pengurus Wales itu kepada Sky Sports.

"Ia amat luar biasa.

"Selepas tewas dua perlawanan (kepada Croatia dan Hungary) pada musim panas lalu, saya perlu memberikan pujian buat pemain dengan kebangkitan yang dilakukan mereka.

"Mereka memaparkan kecemerlangan, keazaman dan kualiti.

"Ia antara hari terindah dalam hidup saya," katanya.

Masalah kecederaan yang dialami Ramsey sebelum ini menyaksikan bintang Juventus itu hanya dapat diturunkan buat kali pertama dalam perlawanan itu.

"Dia memaparkan kualiti dengan kelas tersendiri.

"Penyudah seperti itu... kami merinduinya tetapi saya fikir lebih baik lambat daripada tiada langsung," tambahnya.

Biarpun tidak pernah mewakili Wales dalam kejohanan utama sepanjang bergelar pemain, legenda Manchester United itu mahu menebusnya dengan membimbing negaranya di pentas tertinggi Eropah itu.

"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir tentangnya," katanya mengenai kekecewaan sewaktu bergelar pemain.

"Ia merupakan antara saat terindah dalam hidup saya.

"Ia memerlukan usaha dan kerja keras.

"Saya beruntung kerana bukan sahaja mempunyai pemain yang baik, malah turut memiliki staf terbaik.

"Suasana setiap kali kami bermain di Cardiff... peminat adalah sebahagian daripada itu.

"Saya menontonnya pada 2016 - anda boleh tahu bahawa peminat gembira dengannya dan mereka akan lebih gembira kali ini," katanya lagi.