Lawan tetap lawan, kata Aidil Zafuan

Oleh Penulis Jemputan 13 November 2019 460
Lawan tetap lawan, kata Aidil Zafuan
"Lawan tetap lawan," kata pertahanan skuad negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, yang mengisytiharkan 'perang' terhadap Thailand sambil menegaskan tiada pasukan di dunia yang tidak boleh dikalahkan menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok. 

Keyakinan itu dilaungkannya selepas menyedari Thailand, yang menghuni ranking ke-109 dunia, akan tampil dengan skuad berbeza dalam perlawanan kali ini.

Dengan ditunjangi jurulatih ternama dari Jepun, Akira Nishino, skuad Gajah Perang itu turut dibarisi beberapa pemain berstatus bintang.

Namun, reputasi hebat lawan itu tidak menggentarkan pemain berpengalaman berkenaan, sebaliknya dia percaya misi mengalahkan Thailand bukan mustahil.

"Apa yang penting adalah pemain kami sendiri, bagaimana untuk bersatu hati sebagai satu pasukan.

"Dalam dunia bola sepak, tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan.

"Liverpool pun boleh kalah, jadi bagi saya, tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan," katanya.

Aidil Zafuan, yang hampir pasti memakai lilitan lengan dalam pertemuan itu, akan berdepan tugas berat di benteng pertahanan.

Ia kerana pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu perlu menyekat penyerang berbisa lawan, Teerasil Dangda.

"Semestinya kita mengetahui bahawa Teerasil merupakan pemain yang amat berpengalaman.

"Dia seorang pemain yang bagus.

"Siapa juga lawan kami esok, kami tetap akan lawan.

"Kami tidak akan memberi laluan mudah buat Thailand," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen