Lionel Messi mendedahkan latihan tambahan meningkatkan kadar jaringannya menerusi sepakan percuma musim ini.

Bintang Barcelona itu telah menjaringkan enam gol menerusi 41 percubaan daripada sepakan percuma musim lalu tetapi statistik Opta menunjukkan dia kini telah meledak empat gol daripada 12 percubaan dalam saingan LaLiga bagi musim 2019-20.

Hampir kesemua yang dicapai Messi adalah berdasarkan bakat luar biasanya tetapi dia menjelaskan sepakan percuma yang dilakukan memerlukan lebih daripada bakat semata-mata.

Penjaga gol mungkin sudah terlalu banyak menyaksikan jaringan daripada Messi tetapi usahanya untuk terus menjaringkan gol adalah satu cabaran yang tidak pernah terhenti.

"Sejak kebelakangan ini, saya banyak melihat, terutama sekali ketika mengambil sepakan percuma. Melihat pergerakan pasukan lawan, bagaimana mereka menyusun halangan," kata Messi.

"Saya kini lebih banyak menyelidik dan berlatih dengan lebih kerap. Saya mendapati permainan saya lebih baik dengan latihan yang dilakukan."

Dalam satu temu bual dengan LaLiga untuk menandakan ulang tahun ke-90 liga itu, 432 gol yang disumbat oleh Messi menjadikan dirinya sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dan pencapaian itu merupakan sesuatu yang membanggakan.

"Pencapaian ini sungguh bermakna bagi saya. Sangat istimewa.

"Sejujurnya, saya berasakan ini adalah salah satu rekod terbaik saya.

"Setiap kali saya turun beraksi, saya kurang memikirkan tentang jaringan dan lebih kepada perlawanan."