Laporta mahu Guardiola kembali jika menang jawatan presiden Barca

Oleh Muzaffar Musa 12 Mei 2020 402
Laporta mahu Guardiola kembali jika menang jawatan presiden Barca
Joan Laporta merancang untuk menyertai pemilihan presiden Barcelona tahun depan dan mahu Pep Guardiola kembali ke pasukan itu sekiranya dia berjaya.

Laporta menghabiskan tujuh tahun sebagai presiden Barca sebelum mengundurkan diri pada 2010.

Sedekad selepas melepaskan jawatannya di Camp Nou, individu berusia 57 tahun itu bersedia untuk menggantikan Josep Maria Bartomeu pada 2021.

Laporta menaikkan pangkat jurulatih muda, Guardiola, sebagai pengendali pasukan utama pada 2008, yang terbukti amat berkebolehan.

Jika Laporta terpilih untuk kembali mengisi jawatan itu, pengurus Manchester City berkenaan pasti akan pulang ke Catalonia.

Dia memberitahu perkara itu kepada stesyen Catalan TV3: "Saya sedang berusaha untuk memperkenalkan diri sebagai calon presiden.

"Saya pernah menjadi presiden sebelum ini dan amat teruja untuk kembali.

"Situasi pada 2021 pasti amat dramatik dan kita perlu mengembalikannya.

"Saya hanya bekerja dengan orang yang saya percaya," katanya.
 
Dia menambah: "Saya amat menggemari jika Guardiola kembali tetapi dia kini bersama City dan keputusan itu perlu dipilih Pep.

"Dia adalah penanda aras Barcelona dan ramai warga Catalan mahu melihat dia kembali melatih Barca.

"Apabila tiba masanya, saya akan bercakap dengan seseorang yang saya fikir akan menjadi jurulatih Barca pada 2021," katanya lagi.

Laporta berkata masih terlalu awal untuk Xavi menduduki kerusi panas di Barca, yang baru sahaja diduduki Quique Setien pada Januari lalu.

"Xavi sudah menjadi jurulatih, dia hidup dengan bola sepak dan dialah yang perlu menentukan bilakah masa buatnya.

"Pada 2021, masih ada pemain di Barca yang pernah menjadi rakan sepasukan Xavi dan dia perlu memikirkan adakah dia sudah bersedia untuk menguruskan bekas rakan sepasukannya di mana ia bukan sesuatu yang mudah," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen