Setiap musim, akan ada isu melibatkan pemain bola sepak.

Malah, semakin kuat era profesional dilaungkan pihak pengurusan, isu gaji, kontrak dan perselisihan melibatkan pemain dan persatuan umpama rencah wajib saban tahun.


Isu tidak berkesudahan itu menjadi perbualan utama sebaik badan induk, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), melabel bola sepak di Malaysia mampu menjadi sebuah industri.

Namun, relevankah ia?

"Di atas dasar rangkaian hubungan, pembangunan industri bola sepak meraih manfaat besar serta mengubah wajah bola sepak."

Itulah bait penyambung yang digunakan ketika bola sepak Malaysia dicuba untuk mengubah kastanya.

Ia merupakan hasrat murni daripada badan induk itu dengan membawa masuk pengaruh yang menjadi contoh untuk semua persatuan dan kelab.

World Football Summit (WFS) Asia yang diadakan di ibu negara April lalu, banyak membentangkan cara terbaik untuk sesebuah kelab dan persatuan yang mengutamakan profesionalisme.

"Mereka mahu menembusi kelab bola sepak di Asia dan Eropah.

"Ia memerlukan minimum 24 bulan untuk mendapatkan temu janji.

"Jadi, kami membawakan semua orang di sini, untuk dua hari, bagi memberikan akses kepada semua pembentang dan impaknya sangat besar.

"Ia mengenai pembinaan perniagaan buat bola sepak Malaysia untuk berhubung dengan syarikat yang ada di sini," kata Ketua Pegawai Eksekutif WFS Asia, Mohan Rajaratnam.

Cerita "wangi" bola sepak sebuah industri itu tidak cukup untuk menampung isu tidak masuk akal melibatkan nasib pemain yang semakin "membusuk" saban hari.

Hakikatnya, menjadi pemain bola sepak tidak akan dapat lari daripada berdepan risiko masalah gaji, kontrak meragukan dan insiden lain yang sering menjadikan mereka sebagai mangsa.

Antara mangsa yang sudah menerima tempias itu ialah Azmi Muslim, pemain yang cukup berpengalaman bukan sahaja di peringkat domestik, malah bekas pemain kebangsaan.

Tunggakan gaji dua bulan ketika bersama Melaka, disusuli nasib malang berterusan dengan Perlis, Azmi kini bersama Kuala Lumpur, pasukan yang bergelut dengan isu dalaman.

Jadi, apa jaminan untuk Azmi menjalani kariernya yang dianggap sebagai industri?

"Saya tidak dibayar gaji selama dua bulan dan daripada situ saya terpaksa mengeluarkan duit simpanan sendiri selama dua, tiga bulan itu.

"Ia nampak agak sukarlah untuk saya menampung segala keperluan kerana tidak dibayar gaji," katanya.

Siapa sahaja tidak kenal Amirizdwan Taj Tajuddin, bekas pemain kebangsaan yang pernah membawa watak penting di bahagian pertahanan ketika era bekas ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Janji yang tidak tertunai daripada pihak majikannya tampak sudah menjadi makanan ruji buat pemain kelahiran Kelantan itu.

Bermula daripada skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM), nasib malang pemain itu berterusan ketika menyarung jersi Kelantan dan Perlis.

Dia jelas sudah kehilangan kata-kata untuk menggambarkan kekecewaannya.

"Tipulah kalau kata tidak fikir tetapi apabila kita masuk padang, kita kena lupakan masalah itu dan fokus kepada pasukan.

"Benda memang tidak dapat dibendunglah. Setiap hari benda tu makin keluar dan makin keluar hingga akhirnya pecah juga kepada pihak media.

"Ia membawa kepada rentetan penutupan pasukan.

"Selama setahun itu, saya menggunakan wang simpanan.

"Tetapi berapa lama sangat saya boleh menggunakan simpanan?

"Sukar itu memang sukar tetapi saya harap FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) akan mengambil serius benda ni kerana ia melibatkan periuk nasi pemain, bukan saya sahaja tetapi pemain lain juga," katanya.

Ketika orang atasan menganggap isu itu sekadar picisan, hakikatnya ia semakin menjadi barah dalam dunia bola sepak yang didongengkan untuk menjadi sebuah industri.

Kekal dilabelkan sebagai isu terpinggir? Pihak yang sepatutnya perlu tampil lebih membantu dan bukan sekadar memberikan kenyataan mudah untuk lari daripada kemelut yang berlaku.