Setiausaha Agung, Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Seri Azzuddin Ahmad, menegaskan dua venue perlawanan bagi kejohanan Piala AFF 2018 di Laos dan Kemboja diberikan tempoh sehingga 6 November ini untuk proses naik taraf lampu limpah stadium.

Dua stadium yang dimaksudkan adalah Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh dan Stadium Nasional Vientiane yang masih gagal memenuhi spesifikasi lampu limpah sekurang-kurangnya 1,200 lux untuk setiap perlawanan yang dianjurkan.

Proses pemantauan terakhir akan diadakan pada tarikh tersebut dan jika berjaya memenuhi syarat berkenaan, kedua-dua venue itu mampu memenuhi tuntutan bagi saingan peringkat kumpulan menerusi format baru yang diperkenalkan.

"Saya telah diberi makluman bahawa kedua-dua persatuan ini sedang berusaha mempertingkatkan taraf lampu limpah mereka mengikut piawaian yang ditetapkan," kata Azzuddin.

Dalam masa sama, pembaharuan untuk penganjuran edisi 2018 turut menampilkan peluang terbuka kepada pegawai dan pengadil di peringkat Asean mempamer kepakaran mereka.

Sebelum ini, pegawai perlawanan dan pengadil terpinggir daripada saingan Piala AFF di mana keutamaan diberikan kepada pakar di peringkat Asia semata-mata.

"Dahulu kami mengambil 100 peratus pegawai dari luar Asia Tenggara.

"Namun, kini kami ingin membangunkan taraf pengadilan di rantau ini, jadi kami mengubah pendekatan itu selepas dipersetujui majlis AFF itu sendiri," tambah Azzuddin.