Bayern Munich telah membuat 'keputusan tepat' dengan melantik Hansi Flick secara tetap, kata Jupp Heynckes.

Ia telah diumumkan Jumaat lalu bahawa Flick telah menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih Bayern sehinggan 2023, mengambil alih tugas yang dipegang Niko Kovac sejak November.

Flick, penolong kepada pengendali skuad Jerman, Joachim Low, menghadirkan semangat baru kepada penyandang juara Bundesliga dan memimpin semula mereka ke puncak liga, mendahului saingan dengan berkelebihan empat mata ke atas penghuni tangga kedua, Borussia Dortmund, sebelum pandemik koronavirus memaksa saingan ditangguh.

Beliau turut memastikan The Bavarian ke separuh akhir Piala DFB dan memiliki kelebihan 3-0 ke atas Chelsea dalam aksi pertama pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Heynckes, yang bertindak sebagai pengendali ketika Bayern merakamkan kejuaraan treble bagi musim 2012-13, percaya mengekalkan Flick secara tetap adalah pilihan terbaik.

"Bayern telah membuat keputusan bijak dengan menandatangani Flick sebagai ketua jurulatih," katanya.

"Beliau seorang jurulatih ideal kerana sudah memiliki pengalaman yang luas.

"Kualitinya sangat diperlukan pasukan ketika ini.

"Saya berharap beliau akan berjaya dalam setiap kejohanan yang disertai."