Frank Lampard yakin Hakim Ziyech akan bangkit selepas permulaan hambarnya di Stamford Bridge.

Ziyech mengalami kecederaan ketika bersama Chelsea dalam aksi pramusim dan hanya beraksi sebagai pemain gantian sebanyak tiga kali sejak perpindahannya daripada Ajax.

Bagaimanapun, dia cukup cergas untuk diturunkan sepenuh masa ketika Chelsea meraih kemenangan 4-0 ke atas Krasnodar dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Russia awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Maghribi itu turut menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-79 daripada empat percubaan tepat yang dilakukannya -- lebih tiga berbanding rakan sepasukan lain.

"Hakim cukup cergas hari ini, ia kali pertama dia cukup cergas untuk memulakan perlawanan," kata Lampard dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dia berusaha dengan amat gigih untuk kembali cergas dan amat berkeinginan untuk menunjukkan kualitinya dalam pasukan ini.

"Kami dapat melihatnya sepanjang dia beraksi di atas padang. Dia mempamerkan kualiti dan ketenangannya dan layak untuk memperoleh gol," katanya.
Ziyech telah terlibat dengan 13 gol daripada 15 penampilannya dalam Liga Juara-Juara dan Lampard gembira untuk akhirnya dapat melihat aksi pemain sayap itu di atas padang.

"Saya fikir prestasinya amat-amat baik jika anda mengenangkan dia tidak memulakan perlawanan sejak Mac lalu selepas Liga Belanda ditamatkan.

"Jadi, saya amat teruja untuk menurunkannya di atas padang dan ia amat mengecewakan buat saya dan dirinya apabila kecederaannya tidak membenarkannya untuk memulakan perlawanan.

"Tetapi saya dapat melihatnya dalam sesi latihan dengan kualiti dan personalitinya untuk menerima bola, membantu dan mencari gol.

"Kami dapat melihat banyak bayangan itu hari ini. Kami membawanya ke sini untuk melakukan tugas itu dan mungkin ramai yang sudah terlupa mengenainya kerana kami membelinya pada Januari lalu dan dia terlepas aksi awal musim ini.

"Malam ini, dia telah membuktikan bahawa dia ada di sini," katanya lagi.