Frank Lampard menolak idea penambahan bilangan perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) kerana bimbang ia boleh mengundang kelelahan buat pemain.

Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Eropah, Andrea Agnelli, mencadangkan penstrukturan semula format pertandingan itu untuk mengelakkannya daripada mudah diramalkan.

Perancangan untuk mengetengahkan 96 pasukan dengan memperkenalkan sistem kenaikan pangkat dan penyingkiran telah ditangguhkan bulan lalu tetapi perbincangan itu masih diteruskan bagi merombak format Liga Juara-Juara (UCL) pada musim 2024-25 dan seterusnya.

Pengurus Chelsea berkenaan sedang memimpin perlawanan UCL buat kali pertama musim ini dan percaya pemain seharusnya tidak dikerah lagi kerana jadual perlawanan ketika ini sudah pun padat.

"Saya fikir format ketika ini sudah tepat," katanya dalam majlis anjuran Organisasi Liga-Liga Eropah.

"Kejohanan ini sudah bagus, saya secara peribadi sukakan formatnya.

"Jika anda bertanya kepada saya, adakah kami boleh mengharungi lebih banyak perlawanan Eropah, saya secara peribadinya tidak tahu di mana ia boleh disumbat lagi dalam jadual sibuk kami.

"Saya selalu berasakan adalah sukar bagi pemain untuk mengekalkan tahap kualiti dan kecergasan. Jadi, saya fikir jika kami mahu meneruskan usaha itu, perlu ada banyak perbincangan tentang bagaimana ia berfungsi dengan praktikal.

"Sebagai pengurus, saya sebenarnya lebih berasakan beban perlawanan, lebih daripada ketika saya bergelar pemain, walaupun saya masih lagi memainkan peranan seperti pemain.

"Kami mengambil kira aspek mengekalkan kecergasan pemain dan ia satu cabaran untuk kami mengharungi semua kejohanan yang ada ketika ini."

Ditanya sama ada pengabaian Piala Liga Inggeris (EFL) boleh memberi ruang kepada lebih banyak perlawanan di peringkat Eropah sebagai satu kemungkinan kepada penyelesaian itu, dia berkata lagi: "Saya berasa dekat dengan Piala EFL kerana telah memenanginya beberapa kali bersama Chelsea (sebagai pemain).

"Ini adalah kejohanan pertama yang saya menangi. Secara domestiknya, ia memberikan sesebuah pasukan itu perasaan bahawa mereka boleh bersaing di peringkat kalah mati di tempat sendiri, itu sesuatu yang penting."