Lampard tidak mampu jelaskan aksi berdepan Ajax

Oleh Staff Writer 6 November 2019 742
Lampard tidak mampu jelaskan aksi berdepan Ajax
CHELSEA 4 AJAX 4

Pengurus Chelsea, Frank Lampard, mengakui dia tidak mampu menjelaskan keputusan seri 4-4 dengan Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan tiga gol menentang lawan yang beraksi dengan sembilan pemain.


Tammy Abraham dan Kepa Arrizabalaga menjaringkan gol sendiri, sambil Jorginho dan Quincy Promes meletakkan nama dalam senarai penjaring tatkala The Blues melepaskan tiga gol sebelum rehat buat kali pertama musim ini.

Ajax meraih pendahuluan 4-1 selepas 10 minit permainan bersambung di Stamford Bridge dan mendahului 4-2 -- selepas Cesar Azpilicueta merapatkan jurang -- ketika Daley Blind dan Joel Veltman diperintah keluar padang secara serentak.

Tuan rumah, Chelsea, menggunakan kelebihan itu apabila Jorginho menyempurnakan sepakan penalti dan Reece James menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 16 minit tetapi Azpilicueta dinafikan jaringan kemenangan oleh video bantuan pengadil (VAR) selepas bola didakwa terkena tangan Abraham.

Chelsea kini berkongsi tujuh mata dengan Ajax dan Valencia dalam Kumpulan H sambil saingan peringkat kumpulan berbaki dua perlawanan dan  Lampard berpuas hati dengan keputusan seri di London itu.

"Saya tidak dapat menjelaskan perlawanan itu," katanya.

"Untuk semua perkara yang telah kami kenal pasti serta persaingan sengit dalam perlawanan, kami di sini untuk menghiburkan dan sesiapa yang menontonnya pasti teruja.

"Satu penghormatan buat Ajax. Saya tidak fikir pernah berada dalam perlawanan sebegini. Saya katakan dalam waktu rehat, ia akan menjadi 3-3 atau 4-4, jadi kami masih berjuang.

"Kami tampak bahaya dan saya rasa kami mencipta momentum. Secara keseluruhan, saya tidak gembira. Ini adalah Liga Juara-Juara dan kami lakukan banyak kesilapan.

"Ketika rehat, saya mengharapkan keputusan seri dan itu yang berlaku."

Kebangkitan Chelsea ternyata dibantu hasil kad merah terhadap Blind dan Veltman dalam tempoh yang singkat.

Blind diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Abraham sambil Veltman mengikut langkahnya menuju ke terowong pemain selepas mengekang percubaan Callum Hudson-Odoi dalam satu serangan yang sama dan jaringan kemenangan lewat permainan oleh Azpilicueta turut dipalit kontroversi setelah dinafikan oleh VAR.

"Kad merah dan VAR, semua pengurus bercakap tentangnya," tambah Lampard.

"Saya perlu melihatnya semula. Apabila anda berada di tepi padang, sukar untuk melihat secara jelas."

Pemain gantian yang masuk dalam babak kedua, James, memberi impak dari bangku simpanan tatkala dia muncul pemain termuda Chelsea yang menjaringkan gol di pentas Liga Juara-Juara pada usia 19 tahun dan 332 hari.

"James adalah pemain muda yang hebat," ujar Lampard.

"Saya rasa kami lebih menggunakan sebelah kanan. Dia akan menjadi pemain hebat kerana memiliki kualiti diperlukan.

"Bek tepi era moden akan hadir dan sesetengahnya tampil dengan hebat."

Bagaimanapun, pertahanan muda itu berpendapat Chelsea patut meraih kemenangan ketiga berturut-turut di pentas Eropah dalam baki perlawanan.

"Mereka sukar diatasi dan kami mengambil kesempatan di atas dua kad merah, jadi sayang sekali apabila kami tidak dapat menang," katanya.

"Menghasilkan gol adalah satu bonus. Pengurus memberitahu saya untuk masuk dan membantu pasukan. Kami mendapat peluang untuk menang tetapi melihat kepada situasi sebelum rehat, ia keputusan yang baik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen