Frank Lampard berjanji Chelsea akan menimba pengalaman berguna daripada kekalahan memalukan dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) kepada Bayern Munich sambil berazam untuk lebih mantap musim depan.

Chelsea tunduk 1-4 dalam pertemuan kedua di Allianz Arena awal pagi tadi untuk tersingkir dengan agregat 1-7 -- kekalahan kedua terbesar buat wakil Inggeris di pentas itu.

Robert Lewandowski menyumbangkan dua gol selain dua bantuan jaringan untuk Ivan Perisic dan Corentin Tolisso manakala satu jaringan sagu hati pelawat menerusi Tammy Abraham.

Susulan kempen sulung yang mengecewakan sebagai pengurus The Blues, bekas pemain tengah England itu mengakui kekalahan besar tersebut harus digunakan sebagai proses pembelajaran buatnya sendiri dan barisan pemainnya.



"Ini satu latihan yang baik bagi kami untuk melawan Bayern yang berpengalaman luas dalam UCL sementara ramai pemain kami membuat kemunculan pertama musim ini," katanya kepada BT Sport.

"Saya dapat melihat ke manakah arah tuju kami dan saya tahu kami akan bangkit.

"Mereka tampil baik-baik saja. Sukar untuk mengatakan selepas kekalahan 1-4 dan saya tidak gembira, tetapi kami melepaskan dua gol awal dan cuba bangkit selepas itu.

"Jika mahu dibandingkan pengalaman mereka dalam UCL berbanding kami, saya nampak banyak perkara baik dalam pasukan ini tidak terkecuali juga beberapa perkara buruk yang pernah kami saksikan musim ini.

"Kami membuat kesilapan individu yang memberikan mereka gol dan di tahap ini, ia akan menghukum anda."

Gawang kelab London itu bocor tujuh kali buat pertama kalinya dalam pertemuan timbal balik di peringkat Eropah untuk melebarkan rekod bolos mereka kepada 79 gol dalam semua pertandingan.

Ia merupakan rekod terburuk mereka sejak 1990-91, maka tidak hairanlah Lampard memberi bayangan mahu mengukuhkan bahagian benteng selepas membawa masukan penyerang, Hakim Ziyech dan Timo Werner.

"Ini usaha yang sedang dilakukan. Ini bukan kebiasaan bagi Chelsea. Kami kehilangan pemain terbaik dalam liga, iaitu Eden Hazard," katanya.

"Kebiasaannya orang tidak boleh menerima Chelsea meraih kedudukan keempat. Kami menginginkan pencapaian yang lebih baik lagi tetapi kami mencapai sesuatu berdasarkan kumpulan yang kami miliki. Sekarang adalah masa untuk memikirkan aspek yang boleh dipertingkatkan.

"Ini adalah sesuatu yang kami sedang nilai. Kami sedang mengusahakannya. Anda berasakan kami ketinggalan memandangkan kelan-kelab lain berbelanja dan meningkat.

"Pembelian pemain adalah sebahagian besar daripada bola sepak. Kini adalah waktunya untuk melihat apa yang kami boleh tingkatkan dan di mana kami dapat tingkatkan. Dalam soal bola sepak, saya tahu perkara yang kami boleh tingkatkan."