VALENCIA 2 CHELSEA 2

Frank Lampard berharap kecederaan pinggul yang dialami Tammy Abraham dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) di antara Chelsea dan Valencia awal pagi tadi tidak begitu serius seperti yang disangkakannya.


Pemain antarabangsa England itu, yang telah menjaringkan 10 gol dalam 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kelihatan dalam keadaan yang tidak selesa pada penghujung babak pertama.

Dia akhirnya terpaksa diusung keluar lalu terlepas baki permainan ketika mereka seri 2-2 yang menyebabkan saingan Kumpulan H itu menjadi terbuka luas.

Lampard dimaklumkan bahawa Abraham telah dibawa ke hospital, namun pengurus Chelsea itu menyangkalnya.

"Saya tidak pasti jika itu benar tetapi dia berada di bilik persalinan ketika ini," katanya.

"Pada masa rehat, ia kelihatan agak teruk, dia mendapat hentakan di pinggulnya. Kemudian maklumat selepas perlawanan mungkin tidak seburuk yang kami sangkakan.

"Itu sahaja maklumat yang saya ada."

Bercakap mengenai perlawanan yang menyaksikan pelawat dinafikan kemenangan menerusi jaringan Daniel Wass selepas bangkit daripada ketinggalan, Lampard mengakui permainan terbuka di Sepanyol itu bukanlah seperti apa yang dirancangkannya.

"Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang luar biasa, kami mempunyai satu peluang berharga dalam tempoh beberapa minit pertama," katanya.

"Kami mempunyai banyak peluang dalam separuh masa pertama, begitu juga dengan mereka. Mungkin peluang mereka lebih baik daripada kami, saya tidak mahu mengatakan bahawa saya sangat beruntung.

"Adakah saya berasa senang dengan perlawanan ini? Tidak, saya tidak menyukainya kerana pada musim ini bukan selalu saya mengatakan bahawa 'kami akan terlepas dengan situasi seperti itu’. Hari ini adalah salah satu daripadanya kerana pihak lawan terlepas peluang berharga.

"Mungkin kami berhak menyumbat gol tetapi saya tidak mahu lari daripada hakikat bahawa kami seharusnya mengambil kesempatan daripada peluang yang ada. Perlawanan ini mungkin boleh berkesudahan 5-5, 6-6."