Frank Lampard berpuas hati dengan peningkatan Chelsea sejak kekalahan kepada Manchester United dalam aksi pembukaan musim 2019-2020 dan kedua-dua pasukan itu akan berentap sekali lagi awal pagi esok.

Aksi kompetitif pertama Lampard mengendalikan Chelsea berakhir dengan kekalahan 4-0 di Old Trafford dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL), Ogos lalu.

The Blues mengharungi permulaan musim yang perlahan tetapi sejak menemui rentak, mereka meraih tujuh kemenangan dalam semua kejohanan menjelang aksi Piala EFL berdepan United di Stamford Bridge.

"Sukar untuk melupakannya, United telah menghukum kami empat kali dalam perlawanan yang kami bermain dengan baik," kata Lampard.

"Kami semakin meningkatkan lagi mutu permainan, ia perkara paling penting. Ia adalah tujuan utama pasukan dan saya berpuas hati petanda positif mula berhasil.

"Saya cuba untuk tidak membincangkan mengenai masa depan. Jika kami melakukannya, masalah akan hadir. Segalanya berjalan dengan baik dan kami di landasan yang betul."

Rentetan kemenangan Chelsea bermula ketika mengatasi Grimsby Town 7-1 dalam pusingan sebelum ini dan Lampard meletakkan sasaran untuk menjulang Piala EFL bersama barisan pemain muda.

"Kami menyasarkan semua gelaran," katanya. "Kami mahu menang setiap perlawanan tetapi kami berdepan lawan sukar. Setiap perlawanan anda harus memberikan yang terbaik untuk menang."

Ketika Chelsea mula menampilkan peningkatan di bawah kendalian Lampard, United pula bergelut mendapatkan aksi konsisten dan kini ketinggalan tujuh mata kepada lawan mereka seterusnya dalam saingan EPL.

Lampard akan membuat pertukaran dalam skuad yang meraih kemenangan 4-2 ke atas Burnley walaupun mengesahkan N'Golo Kante dan Antonio Rudiger kekal diketepikan daripada aksi tersebut.

"Saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenai United tetapi sejak perlawanan pertama, mata keseluruhan kami sangat baik. Memberikan tumpuan terlalu banyak terhadap United tidak memberikan sebarang perkara yang bagus.

"Bertemu United adalah peluang buat pemain-pemain yang masih kekurangan waktu bermain. Walaupun rombakan dilakukan, kami tidak mengambil mudah terhadap perlawanan ini."