Frank Lampard berkata dia amat gembira dengan pemainnya selepas enggan mengulas mengenai rayuan yang dikemukakan Chelsea untuk mencabar sekatan perpindahan pemain yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pasukan Liga Perdana Inggeris itu disekat untuk menandatangani pemain baru dalam dua jendela perpindahan bermula Februari lalu selepas melanggar undang-undang berkaitan perpindahan antarabangsa dan pendaftaran pemain di bawah umur 18 tahun.

Larangan itu sebahagiannya telah dijalankan ketika Chelsea mengemukakan rayuan awal kepada FIFA dan mereka tidak dibenarkan menandatangani sebarang pemain senior dalam jendela perlawanan lalu.

Chelsea dibenarkan untuk menandatangani pemain di bawah usia 16 tahun tetapi kelab itu mengumumkan bahawa mereka akan membawa kes itu ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) dengan pendengarannya ditetapkan pada 20 November ini.

Lampard berkata dia masih tenang untuk menghadapi situasi itu sambil menjadikan graduan akademi seperti Tammy Abraham, Mason Mount dan Fikayo Tomori, yang cemerlang bersama skuad senior, sebagai contoh terbaik.

Ditanya mengenai pandangannya tentang rayuan itu dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Ajax dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, Lampard berkata: "Saya amat berminat tetapi saya tidak cukup pengetahuan untuk menilai situasi undang-undang itu.

"Ia boleh memberikan kesan terhadap apa yang kami boleh lakukan tetapi saya tidak mahu memikirkannya.

"Kami mempunyai perlawanan menentang Ajax dan Crystal Palace untuk difikirkan.

"Kami berada dalam prestasi terbaik. Kami sentiasa mahu meningkat semampu yang boleh.

"Tetapi saya amat gembira dengan apa yang saya ada sekarang," katanya.

Selepas tewas kepada Valencia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H, Chelsea bangkit untuk meraih dua kemenangan berturut-turut, masing-masing ke atas Ajax dan Lille.

Mereka kini terikat enam mata dengan Ajax di kedudukan teratas tetapi Lampard enggan mengakui bahawa The Blues sudah sebelah kaki ke pusingan kedua andai menewaskan skuad kendalian Eric ten Hag itu di Stamford Bridge.

"Saya tidak mahu berkata seperti itu. Saya menyedarinya sejak dari awal bahawa ia persaingan yang sengit.

"Kami sudah memiliki dua keputusan yang baik dan satu lagi (kemenangan) akan menjadi hebat buat kami.

"Tetapi Ajax mampu memberikan ancaman besar.

"Selepas perlawanan pembukaan, kami telah menunjukkan reaksi yang hebat.

"Chelsea dijangka akan layak. Ia mungkin disebabkan reaksi yang kami berikan selepas perlawanan dengan Valencia.

"Kami perlu memiliki perwatakan yang sama seperti ketika meraih keputusan terakhir," tambahnya.