LaLiga tetap bertahan tanpa Messi, Ramos

Oleh Shaiful Shamsudin 18 November 2020 104
LaLiga tetap bertahan tanpa Messi, Ramos
Javier Tebas berharap dapat mengekalkan Lionel Messi dan Sergio Ramos di Sepanyol ketika presiden LaLiga itu sekali lagi tampil membidas Manchester City.

Messi mendesak untuk meninggalkan Barcelona dalam jendela perpindahan terdahulu dan pemain berusia 33 tahun itu dikecewakan apabila hasratnya disekat. 

Skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola kerap dikaitkan dengan pemain antarabangsa Argentina itu, tetapi Messi akhirnya memilih untuk menghabiskan baki kontraknya di Camp Nou iaitu kekal hingga sekurang-kurangnya akhir musim 2020-21.

Tebas sekali lagi mengulangi hasratnya untuk melihat Messi kekal dalam LaLiga walaupun tidak percaya kancah domestik itu akan terjejas sekiranya penyerang Barca tersebut memilih untuk angkat kaki. 

"Kami lebih suka jika Messi kekal  dalam La Liga tetapi selepas pemergian Cristiano Ronaldo dan Neymar, kami tidak melihat ada perbezaan," katanya yang terus mengkritik tindakan City.

"Nampaknya satu-satunya kelab dalam Liga Perdana yang bercakap mengenai pendaftaran Messi adalah Manchester City, mereka bersaing di luar peraturan. Saya bukan satu-satunya pihak yang membangkitkan perkara ini.

"Saya tidak terlalu bimbang tentang mereka. Saya pernah berkali-kali mengkritik apa yang mereka lakukan. Melakukannya sekali lagi tiada bezanya.

"City tidak terjejas dengan COVID-19 memandangkan mereka dibiayai dengan cara berbeza dan adalah mustahil untuk menentangnya."

 


Ketua pasukan Real Madrid, Ramos, yang kontraknya akan berakhir hujung musim ini dikhabarkan menjadi buruan Paris Saint-Germain (PSG) sehingga mendorong pertahanan itu membatalkan kemunculannya dalam sidang media bersama pasukan kebangsaan, kelmarin.

Tebas, bagaimanapun, mengharapkan bek tengah itu kekal di ibu negara Sepanyol berkenaan. 

"Saya lebih suka Messi dalam liga ini, Sergio Ramos dalam liga ini," katanya. 

"Kami menganjurkan kejohanan utama. Tetapi kami sudah bersedia untuk mengelaknya daripada terlalu terkesan.

"Saya fikir Ramos akan terus berada di Real Madrid."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen