LaLiga teruskan usaha bawa perlawanan ke luar Sepanyol

Oleh Staff Writer 11 Disember 2018 101
LaLiga teruskan usaha bawa perlawanan ke luar Sepanyol
LaLiga akan meneruskan usaha membawa perlawanan liga itu keluar daripada Sepanyol buat kali pertama walaupun Barcelona menolak untuk beraksi menentang Girona di Miami.

Berdasarkan perjanjian 15 tahun di antara liga divisyen utama itu dan Relevent Sport, Barca dicadangkan untuk menentang Girona di Stadium Hard Rock, Miami, Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Barca menerusi satu kenyataan rasmi malam tadi, menyatakan mereka tidak lagi berminat untuk berdepan Girona di Miami kerana kurangnya sokongan terhadap idea itu.

Bagaimanapun, gergasi Catalan itu tidak menolak untuk perkara itu terjadi andai ia mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

LaLiga turut mengeluarkan satu kenyataan rasmi sebagai respons kepada kenyataan yang dikeluarkan Barca itu dengan mendakwa mereka menerima keputusan tersebut, namun menegaskan usaha itu tetap akan dijalankan.

"Pihak LaLiga mengucapkan tahniah buat FC Barcelona dan Girona FC di atas kesudian mereka secara sukarela untuk menjadi pasukan pertama bermain aksi LaLiga di luar Sepanyol.

"Projek LaLiga bersama Relevant itu telah ditandatangani sejak 15 tahun dahulu.

"Sejak awal lagi, kami menyatakan penyertaan itu merupakan secara sukarela dan jika FC Barcelona menarik diri, projek di Miami itu tidak akan dijalankan pada tarikh yang ditetapkan.

"Kami turut terkesan dengan kekecewaan yang melanda peminat di AS.

"Kami hanya mahu meyakinkan mereka bahawa perlawanan LaLiga juga mampu dimainkan di luar Sepanyol seperti kejohanan-kejohanan utama AS yang lain.

"LaLiga akan meneruskan usaha membawa Liga Sepanyol ke luar negara walaupun perlawanan yang dijadualkan pada 26 Januari depan tidak dapat dijalankan," kata kenyataan berkenaan.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, memaklumkan pada Oktober lalu, pihaknya akan menyekat segala usaha membawa perlawanan LaLiga ke AS.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen