Pasukan LaLiga telah diberitahu bahawa mereka akan dibenarkan kembali berlatih dengan syarat perlu mematuhi protokol yang ditetapkan oleh Kerajaan Sepanyol.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara Majlis Sukan Sepanyol (CSD), Persekutuan Sepak Bola Diraja Sepanyol (RFEF) dan LaLiga, kelmarin.

Tujuannya adalah untuk mengizinkan pemain kembali menjalani latihan, bergantung kepada situasi wabak novel koronavirus (Covid-19) dan keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan", kata CSD dalam satu kenyataan.

Sesi latihan akan diadakan di bawah protokol yang ketat dan selagi keadaan memungkinkannya, kata CSD lagi.

Musim 2019-20 dicadangkan akan disambung Jun depan biarpun CSD tidak memperincikan mengenai tarikh bermulanya latihan mahupun perlawanan.

RFEF dan LaLiga juga bersepakat untuk mengetepikan pendapatan daripada hak penyiaran bagi mewujudkan dana penyelamatan buat persekutuan, Sukan Olimpik dan Paralimpik yang pendapatannya terjejas teruk oleh pandemik itu.

Presiden RFEF dan LaLiga, Luis Rubiales dan Javier Tebas, turut menandatangani komitmen untuk mewujudkan dana luar jangkaan sebanyak €10 juta (RM47.6j) untuk membantu atlet yang terkesan.

Pertemuan antara Rubiales, Tebas dan Presiden CSD, Irene Lozano, yang berlangsung selama lebih lapan jam di Palacio de Viana itu juga menyaksikan badan-badan tertinggi bola sepak Sepanyol menyatakan komitmen dalam mengetengahkan kod etika yang baru.

Perjanjian itu, yang akan menjadi rujukan sukan profesional yang lain, juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara LaLiga dan RFEF.

Kod etika baru itu akan mendorong "dialog yang jujur ​​dan ikhlas serta memudahkan hubungan baik antara institusi bola sepak yang berbeza", kata CSD.

Komitmen kerjasama turut dicapai dalam misi mengukuhkan reputasi Sepanyol sebagai "negara untuk sukan yang aman" sebagai langkah untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia 2030.