Diego Forlan meremehkan kepentingan bintang Barcelona, Lionel Messi, kekal dalam LaLiga sambil menegaskan liga itu akan bertahan tanpa pemenang Ballon d'Or enam kali berkenaan.

Masa depan Messi terus menjadi topik penting di Barca selepas dia memohon perpindahan susulan musim 2019-20 yang penuh bergelora.

Ketua pasukan Barca itu dikhabarkan mahu menyertai pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, sebelum memilih kekal di Sepanyol, kini juga kerap dikaitkan dengan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter.

"Saya tidak akan mengatakan ia adalah sebagai hadiah (Messi kekal)," kata bekas penyerang Atletico Madrid itu yang menjuarai Liga Europa dan Piala Super UEFA ketika beraksi di ibu kota Sepanyol berkenaan di antara musim 2007 dan 2011, kepada Marca Sport Weekend.

"Jelas, LaLiga telah berkembang menerusi pemain hebat yang beraksi di kelab yang berbeza. Tetapi LaLiga adalah LaLiga dan kelab-kelab ini sangat penting dan mempunya sejarah tersendiri.

"Sangat bagus dia tinggal tetapi mereka akan terus berkembang. Leo Messi, Luis Suarez adalah pemain hebat. Mereka mengubah wajah liga tetapi LaLiga akan tetap ada. Sudah lebih 90 tahun sejarah penubuhan LaLiga dan ramai bintang handalan pernah beraksi di sini dan akan ada yang menyusul selepas ini.

"Tetapi pada akhirnya, apa yang masih ada dalam LaLiga ialah pasukan dan itu adalah perkara paling penting."